Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Tiga

Masih Hari 2

Kami berjumpa pemandu teksi yang akan bawa kami ke Shiraz secara kebetulan. Tengah sibuk ambil gambar dekat celahan lalang depan Golestan Palace tiba-tiba sekumpulan pelancong dari Hong Kong menegur dan tanyakan nak ke mana. Kami katakan lepas ni nak ke stesen bas dan beli tiket ke Shiraz. Dengan sungguh-sungguh mereka kata pergi saja dengan teksi. Kaget juga kami, teksi? Sejauh 1252 km itu?

Pemandu teksi merangkap pemandu pelancong tu memang tinggal di Shiraz, sudah lapan hari bawa mereka dari selatan ke Tehran. Setelah menimbang-nimbang harga trip yang sama macam tiket bas, boleh berhenti suka hati dan kewibawaan pemandu, kami setuju. Kami perlu membayar 30 USD seorang, perjalanan dari Tehran ke Shiraz, termasuk melawat Necropolis dan Persepolis. Kami genapkan 100 USD dengan tips.

Masoud, nama pemandu kami, minta kami cari Galubandak Junction dan permulaan ke Shiraz bermula dari situ. Jam 8 malam, trafik di Tehran sedang di kemuncak kegilaannya. Penuh, sesak dan padat. Hampir dua jam juga baru kami nampak susur lebuhraya ke selatan.

Angin kuat sepanjang malam tu, teksi tak perlu langsung buka penyaman udara dan tigkap. Masoud berhenti beli makanan dan ajak kami makan sama dalam kereta, aku mampu ambil seketul ayam je, dia makan terkocoh-kocoh. Kami tengah bergelut dengan kesejukan melampau, dari situ badan masing-masing terkejut, hidung mula berdarah. Aduhai kejutan cuaca. Mujurlah masing-masing bawa heat pad, adalah benda yang panas nak diramas-ramas.

Hari 3

Rasanya kali terakhir kami masih sedar diri cuma waktu Masoud isi minyak, kami kena turun dari teksi. Masuk semula dan terus semua sampai ke bulan. Terjaga juga sekejap-sekejap dek lajunya teksi. Jam 3 pagi, tiba-tiba nampak Amir Shrine dan papan tanda Esfahan. Dia mengantuk dan singgah hotel tempat kerja kawannya untuk rehat sekejap sebelum mulakan perjalanan ke Shiraz. Kami berehat di lobi, sambung lelapkan mata. Suhu di Esfahan betul-betul menguji, hujan malam itu, suhunya turun sehingga 3 darjah celcius.

Jam 5.30 pagi dia kejutkan kami untuk sambung perjalanan. Sarapan dalam kereta dengan roti dan cheese yang dia sedia dalam kereta, siap cawan kaca. Mujurlah kami juga ada simpan lebihan roti, madu dan jem dari hostel. Budaya makan mereka cukup ringkas. Matahari pun perlahan terbit indah sekali. Keluar saja dari Esfahan, kiri kanan kami cuma ada gunung-gunung batuan yang sangat berbeza dari tanah air sendiri, ladang gandum, delima, timun dan tomato, pokok-pokok pistachio yang tumbuh liar jadi makanan kambing, kambing bulat-bulat macam cottonball dari jauh, serta hal yang baru kami tahu iaitu caravanserai (disebut: karavansera).

Caravanserai ni adalah bangunan persinggahan untuk pengembara dan pedagang yang melalui Jalan Sutera dulu menginap dengan barangan dan angkatan binatang mereka – kambing, unta dan keldai. Dek kerana perjalanan pedagang masa tu memang jauh, kemudahan ni dibina untuk mereka. Ada banyak caravanserai di Iran, Turki, Georgia dan Armenia. Paling besar sekali di Sultanhani, Turki. Bangunan caravanserai ni masih digunakan sampai sekarang oleh petani dan pengembala nomad. Ya, masih ada orang yang menjalankan cara hidup nomad di Iran.

Sepanjang perjalanan, kami bertukar-tukar cerita. Masoud umurnya 45 tahun, punya isteri dan dua orang anak. Baru empat tahun berpindah ke selatan selepas isterinya dilanggar didepan universiti. Tehran is not good for living, only good for money. Dilanjutkan lagi dengan so you are muslim and are you wearing like this in your country? Penuh semangat ingin tahu. Iran mewajibkan semua perempuan berhijab termasuk pelancong. Peringatan akan diberitahu sebelum mendarat oleh anak kapal. Masoud seperti kami, tidak setuju campurtangan kerajaan ke atas sehelai kain diatas kepala perempuan. Tetap undang-undang itu kami hormati.

Kata kawanku, semasa aku tidur lelap dibelakang, dia tanya macam-macam hal tentang keadaan aku yang berbadan besar untuk kembara, memanjat tangga Persepolis dan mendakit bukit Necropolis nanti. Katanya pada Cik Reen, kalau disini, orang macam aku hanya akan duduk di rumah.

Tak lama selepas itu, kami berhenti lagi isi minyak. Berhentinya disitu, ada perempuan mendukung anak meminta derma. Kata Masoud mereka ini datang dari Pakistan, mereka akan masuk ke Iran dan mencuba nasib pekerjaan, kalau tak berhasil, mereka akan pulang. Dia tak menghulur wang, tetapi menyisihkan roti dan buah-buahan untuk mereka.

Dia faham apa rasanya hidup begitu dengan peluang pekerjaan tidak banyak di Iran, sekatan ekonomi tambah memburukkan keadaan. Abbes yang kami temui di Tehran juga sedang berjuang mendapatkan keputusan baik dan bekerja di luar negara.

Doaku sebelum kembara bermula biarlah perjalanan ini mengajar kami baik buruk, hitam putih dan kelabu hidup rakyat negara kontrobersi ini, bukan dakyah-dakyah media berkepentingan. Syiah atau tidak, mereka sama seperti kita, hentikanlah kegilaan kafir mengkafir tangkap menangkap mengharamkan buku misalnya. Kita orang kecil yang sama terkontang-kanting mencukupkan tuntutan hidup.

Berhenti makan di restoran tepi lebuhraya, 550,000 IRR untuk empat orang makan dan teruskan lagi perjalanan ke Necropolis.

Bersambung

Alynn Sharuddin


Sumber Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Tiga

Related Posts :

0 Response to "Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Tiga"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect