Lebih pengambilan nasi dalam diet seharian membawa faktor kepada penyakit diabetes. — Foto AFPKUALA BERANG, 18 Nov — “Lebih pengambilan nasi dalam diet seharian, mungkin punca utama saya menghidap diabetes lima tahun lalu,” kata Shamsuddin Abd Ghani.
Shamsuddin, 37, yang juga Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, berkata beliau mula menyedari dirinya mempunyai penyakit berkenaan setelah tubuh badannya kurus secara mendadak.
“Saya kerap ke tandas untuk buang air kecil sehingga pinggang seluar saya menjadi longgar, berat badan saya ketika itu yang melebihi 90 kilogram (kg) turun sehingga 70 kg...saya syak saya mungkin menghidap diabetes tapi untuk pengesahan, saya terus ke Klinik Kesihatan Bukit Payung untuk mendapat pengesahan kerana saya tinggal di kawasan berkenaan.
“Saya tidak mengambil makanan manis secara berlebihan tapi apabila dilihat cara pemakanan, saya banyak makan nasi tidak kira masa, walaupun pada tengah malam saya tetap mencari nasi...mungkin faktor gula dalam nasi menyebabkan saya menghidap kencing manis,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Shamsuddin dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Pesakit Diabetes Terbaik daerah Marang pada Sambutan Hari Diabetes dan Hari Jantung Sedunia Peringkat Terengganu di sini, kelmarin.
Anak jati Marang itu, berkata selepas disahkan menghidap diabetes setelah tahap gula dalam badannya mencapai bacaan 16 mmol/l pada 2013, kehidupannya terpaksa bergantung dengan suntikan insulin selama tiga bulan, di samping ubat-ubatan.
“Agak leceh kerana jika ingin ke mana-mana, saya terpaksa membawa bekalan insulin terutama jika ada kursus di luar kawasan...tapi tekad ingin sembuh saya harus disiplinkan diri makan ubat mengikut aturan ditetapkan dan paling penting harus kawal pemakanan...kadang-kadang saya melanggar pantang mengambil makanan kesukaan terutama bubur kacang tapi saya sesekali tidak akan lupa makan ubat.
“Alhamdulillah berkat sabar, sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, kencing manis saya berada di tahap terkawal hingga ke 5 mmol/I dan tidak perlu lagi sepenuhnya bergantung kepada ubat-ubatan.
“Bukan mudah pada usia muda sebegini, disahkan menghidap kencing manis adalah tamparan hebat bagi saya tambahan pula saya adalah pengamal perubatan...mungkin juga kerana faktor di sebelah ayah saya ada sejarah keluarga menghidap kencing manis,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut kerana apa yang dilakukan itu hanyalah untuk kesihatan diri.
“Nak istiqamah jaga kesihatan bukan mudah, tetapi sejak awal tahun ini memang saya tidak putus mendapatkan nasihat daripada doktor dan ikut apa yang diarahkan kerana saya sayang diri saya sebab usia masih muda,” katanya. — Bernama
Sumber Terlebih ambil nasi punca utama diabetes
0 Response to "Terlebih ambil nasi punca utama diabetes"
Post a Comment