Saya Bukan Rosakkan Lagu - Najwa Mahiaddin

Meskipun namanya boleh dikata bukan antara penyanyi yang seringkali meniti di bibir para peminat muzik arus perdana namun Najwa Mahiaddin berjaya meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri sebagai seorang penghibur. Malah dia lebih banyak membuat persembahan di luar negara.

Memperkenalkan dirinya menerusi sederet lagu bahasa Inggeris seperti Got to Go, How Long Must I Wait dan After the Rain, Najwa berkata dia tidak pernah berasa putus asa dalam memperjuangkan genre muziknya yang berentak Jazz walaupun lagunya masih kurang menarik halwa telinga peminat tempatan.

"Saya tidak pernah berasa putus putus asa. Sebagai seorang penghibur kita harus percaya dengan muzik dan apa yang kita mahu perjuangkan.

"Kita kena kuat dengan pendirian dan gaya yang mahu kita persembahkan dalam muzik kita," katanya yang sudah berkecimpung secara serius dalam dunia nyanyian sejak tahun 2011.

Najwa, 31, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Sentiasa Merinding, duet bersama teman baiknya Imran Ajmain, bertempat di SukaSucre, pada Khamis.

Dalam pada itu, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini berkata, dia menyedari ada segelintir pihak mendakwa kononnya dia merosakkan lagu menerusi taruhan lagu Bahasa Melayu yang pernah dihasilkan sebelum ini berjudul Seri Mersing.

Menepis tohmahan tersebut Najwa menjelaskan sebagai seorang pemuzik masa kini, dia sentiasa berusaha mencipta muzik yang lebih segar sekaligus berharap lagu itu dapat dibawa ke peringkat antarabangsa.

"Saya bukan rosakkan lagu. Niat saya murni. Saya cuba yang terbaik dalam menghasilkan muzik yang lebih segar dan mampu bersaing di peringkat global.

"Bagi saya, walaupun kita menyanyi lagu Bahasa Melayu tetapi lagu itu mestilah setaraf dengan muzik antarabangsa," tuturnya yang pernah menyumbangkan lagu ciptaannya untuk album terbaru Sheila Majid dan Anuar Zain.

Sentiasa Merinding

..

Berkongsi lanjut mengenai lagu Sentiasa Merinding, kata Najwa, dia sangat teruja kerana impian mahu berkolaborasi dengan Imran akhirnya tercapai. Kesibukan jadual kerja masing-masing menjadikan perancangan mereka tertunggak sehinggalah sekitar setengah yang lalu baru mereka dapat merealisasikannya.

Lagu tersebut dirakamkan pada awal tahun ini bersama Faiz Rosli di yang studio berlainan dengan durasi selama lebih krang dua jam.

"Sejak pertama kali kami kenal dan mula berkawan kira-kira 11 tahun lalu, saya dan Imran sering berbual menyatakan keinginan mahu berkolaborasi namun perancangan asyik tertangguh disebabkan kesibukan masing-masing.

"Alhamdulillah permulaan projek lagu ini berjalan dengan cara tersendiri. Saya menganggap bahawa ia sebagai pertemuan tiga benua kerana ketika itu saya berada di New York, Imran di Kuala Lumpur dan seorang lagi sahabat kami, Avex berada di Australia. Kami banyak berbincang mengenai rangka melodi dan sesi menulis lirik menerusi jaringan internet iaitu aplikasi Skype dan emel.

"Sepanjang proses pembikinan lagu ini saya banyak belajar dan mendapat pengalaman baru dalam menulis lagu berbahasa Melayu kerana saya jarang menulis lagu dalam bahasa Melayu," kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Najwa bakal tampil dengan EP yang mengandungi 3 buah lagu ciptaannya yang dijangka akan dilancarkan pada tahun depan. Selain itu dia juga merancang untuk memasarkan EP tersebut di pasaran Eropah.



Sumber Saya Bukan Rosakkan Lagu - Najwa Mahiaddin

Related Posts :

0 Response to "Saya Bukan Rosakkan Lagu - Najwa Mahiaddin"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect