“Saya balik tidur dekat rumah pun dia marah… dia maki emak saya, sebab itu saya pukul dia.” – Lelaki dihukum pukul ibu tiri

AKIBAT memukul ibu tiri dengan objek keras sehingga kepalanya berdarah, penghantar surat dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap S Shadhees Kumar, 21, selepas dia mengaku mencederakan ibu tirinya, M Sugenthi, 40, di rumah PPR Intan Baiduri, Sentul, 8.30 pagi 26 Sept lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah memerintahkan Shadhees Kumar menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 2 Nov 2017 dan tertuduh akan dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Ketika ditanya Mahyudin mengapa dia memukul ibu tirinya, tertuduh menjawab: “Saya balik tidur dekat rumah pun dia marah… dia maki emak saya, sebab itu saya pukul dia.”

Shadhees Kumar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf, tetapi Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber “Saya balik tidur dekat rumah pun dia marah… dia maki emak saya, sebab itu saya pukul dia.” – Lelaki dihukum pukul ibu tiri

0 Response to "“Saya balik tidur dekat rumah pun dia marah… dia maki emak saya, sebab itu saya pukul dia.” – Lelaki dihukum pukul ibu tiri"

Post a Comment