KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dijangka mengumumkan kerjasama merentas sempadan dengan beberapa pertubuhan di rantau ini untuk secara strategik menjadikan Malaysia sebagai hab pembangunan dan penyampaian permainan video menjelang 2025.
Naib Presiden Teknologi dan Kandungan Kreatif MDEC, Hasnul Hadi Samsudin, berkata MDEC mahu meluaskan kerjasama dalam kalangan komuniti permainan video di Asia Tenggara, bagi mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai antara peneraju global yang penting.
"Kerajaan menyedari industri permainan video sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang utama dan rantau ini mempunyai kelebihan yang diperlukan untuk memacu industri yang dinamik serta bersifat multinasional ini.
"Lebih penting lagi, perkembangan positif ini telah meletakkan kami sebagai rantau penghasilan permainan video baharu muncul," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut MDEC, pasaran permainan video di rantau ini diramalkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 30 peratus antara sekarang dan tahun depan, berikutan Asia Tenggara mempunyai jumlah belia yang paling ramai termasuk kedudukannya sebagai benefisiari teknologi komoditi.
"Potensi pertumbuhan ini memberikan prospek yang besar bagi Malaysia untuk menjadi hab pilihan bagi pembangunan dan penyampaian permainan video menjelang 2025, inspirasi yang selaras dengan inisiatif ekonomi digital negara ini," katanya.
Antara organisasi yang akan terlibat dalam kerjasama tersebut ialah Discovery Nusantara Capital dari Indonesia, Persatuan Pemaju Permainan Video Filipina, Persatuan Komputer Taipei (Taiwan) dan Pusat Inkubator Kandungan Tokyo (Jepun).
Kenyataan itu juga mengumumkan, penyedia teknologi dan platform rakan kongsi MDEC, seperti Google, Sony Interactive dan Amazon, akan meningkatkan keupayaan Level Up Inc, kemudahan inkubator baharu yang dibina di Bangsar South, yang akan menyediakan sokongan menyeluruh bagi pembangunan bakat dan peningkatan perniagaan untuk industri permainan video. - BERNAMA
Sumber Malaysia hab pembangunan permainan video
0 Response to "Malaysia hab pembangunan permainan video"
Post a Comment