Proses menggali semula kubur enam pejuang Melayu ketika zaman pendudukan Jepun di Kampung Semut Api, di sini untuk semadikan semula di kampung kelahiran mereka di Hulu Besut, Terengganu berjalan lancar pagi ini.
Enam pejuang itu ialah Penggawa Wan Embong Wan Zainal; Imam Masjid Kampung Teluk, Yatim Ahmad, Ketua Kampung Lepan Kejor, Abd. Karim Abd. Samad; Ketua Kampung Dengir, Husain Abdullah; Ketua Kampung Bekok, Othman Mamat serta Ketua Kampung Teluk, Ismail Ahmad.
Proses menggali semula kubur besar yang menempatkan keenam-enam pejuang berkenaan bermula pada pukul 8 pagi dan selesai pada pukul 11.30 pagi dengan disaksikan waris mereka.
Tulang mereka kemudian dibawa menaiki van jenazah untuk dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Alur Belanga, Alor Keladi, Hulu Besut.
Pengerusi misi menggali kubur itu, Che Ku Abd. Rahman Che Ku Abdullah berkata, walaupun hujan turun sejak awal pagi, proses tersebut tetap berjalan lancar dan hasrat waris untuk memindahkan jenazah mereka dari tanah awam tersebut tercapai.
“Mengikut sejarah lisan daripada saksi yang melihat pembunuhan itu kira-kira 72 tahun lalu, datuk saudara saya (Penggawa Wan Embong) ditimbus hidup-hidup di sini manakala lima rakannya yang lain ditembak mati oleh tentera Jepun. Mereka dikebumikan secara tidak sempurna.
“Menjadi hasrat kami sebagai waris untuk menyempurnakan jasad mereka dalam satu liang lahad. Lagipun kubur ini berada dalam tanah awam iaitu terletak dalam kawasan Kolej Uniti Kota Bharu,” katanya ketika ditemui.
Che Ku Abd. Rahman berkata, urusan pengebumian tulang-temulang itu akan dilakukan selepas solat Zohor dan upacara tersebut mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) serta Pejabat Agama Islam Besut,” katanya.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Kubur 6 pejuang Melayu digali semula
0 Response to "Kubur 6 pejuang Melayu digali semula"
Post a Comment