KUALA LUMPUR: Usaha Datuk Seri Najib Razak membawa nama Malaysia dalam memperjuangkan nasib pelarian etnik Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman tentera Myanmar, mendapat perhatian kuasa besar dunia.
Kesengsaraan ditanggung etnik Rohingya hingga terpaksa melarikan diri ke Bangladesh, dibangkitkan Perdana Menteri dalam pertemuan dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih dua bulan lalu.
Kebimbangan disuarakan Najib di hadapan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN di Manila awal bulan ini, mendorong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson, buat pertama kali menyifatkan kekejaman ke atas etnik Rohingya di Rakhine sebagai penghapusan etnik.
"Tindakan sesetengah anggota tentera Myanmar, pasukan keselamatan dan golongan tertentu bertindak sendiri menyebabkan pelbagai penderitaan kepada penduduk.
"Keadaan itu memaksa ribuan penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak meninggalkan kediaman di Myanmar bagi mendapatkan perlindungan di Bangladesh.
"Selepas meneliti pelbagai fakta dengan teliti dan menyeluruh, jelas sekali keadaan di wilayah utara Rakhine cenderung kepada penghapusan etnik Rohingya.
"Mereka yang terbabit dengan kekejaman ini perlu bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Washington, hari ini.
Mengikut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggar 620,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu.
Menerusi kenyataan lima perenggan itu, Tillerson menyatakan iltizam AS untuk terus menyokong siasatan telus dan bebas bagi menentukan kesahihan fakta dalam membantu proses mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
Katanya, mereka yang terbabit akan diburu menerusi undang-undang AS, termasuk kemungkinan melaksanakan sekatan bersasar.
Tillerson yang melawat Myanmar dan menemui Suu Kyi pada 15 November lalu berkata, maklum balas Myanmar terhadap krisis itu adalah penting dalam menentukan kelancaran peralihan ke arah menjadi negara lebih demokratik.
"Ujian utama dalam amalan demokrasi ialah bagaimana pentadbirannya menangani populasi paling lemah dan tertindas seperti etnik Rohingya dan etnik minoriti lain.
"Kerajaan dan pasukan keselamatan Myanmar mesti menghormati hak asasi semua pihak dalam lingkungan sempadannya serta mengambil tindakan terhadap yang gagal berbuat demikian.
"Saya ingin mengulangi kecaman Amerika Syarikat berhubung serangan Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) terhadap pasukan keselamatan pada 25 Ogos lalu, namun tiada provokasi boleh menjadi justifikasi terhadap kesengsaraan dihadapi," katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan AS terhadap usaha kerajaan Myanmar mewujudkan persekitaran diperlukan bagi pelarian dan mereka yang terpaksa berpindah untuk kembali ke rumah dengan selamat secara sukarela.
Malah, katanya, AS menyambut baik kesediaan kerajaan Myanmar dan Bangladesh dalam mengadakan rundingan berhubungan perkara itu.
"Pihak berkepentingan mesti bekerjasama dalam memastikan isu ini mencatat kemajuan manakala sokongan pasukan tentera Myanmar amat penting kerana ia adalah situasi merumitkan serta kompleks," katanya.
Minggu lalu, AS mengumumkan tambahan AS$47 juta (RM193.4 juta) bantuan kemanusiaan terhadap mereka yang terbabit dalam krisis di wilayah Rakhine, menjadikan jumlah bantuan kepada lebih AS$87 (RM358 juta) sejak Ogos lalu.
Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata, kebimbangan yang disuarakan Malaysia di peringkat antarabangsa berhubung krisis pelarian Myanmar, dilihat memberi kesan dalam mendorong Suu Kyi menyatakan perancangan pentadbiran negaranya ke arah menangani isu terbabit.
"Jawapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini dilihat sebagai perkembangan positif berbanding sikap membisu pada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila, April lalu," katanya.
Myanmar dilapor berunding Bangladesh - negara tumpuan pelarian sejak krisis kemanusiaan itu bermula Ogos lalu - untuk mengadakan memorandum persefahaman (MoU) bagi proses penghantaran balik etnik terbabit dari sempadan kedua-dua negara.
Sumber Krisis Rohingya adalah penghapusan etnik - AS
0 Response to "Krisis Rohingya adalah penghapusan etnik - AS"
Post a Comment