Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Seni Kulinari) di Majlis Konvokesyen ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Muadzam Shah, di sini, pagi tadi.
Selebriti terkenal itu berkata, beliau tidak pernah bermimpi untuk berdiri di pentas konvokesyen yang mengiktiraf kerjayanya sebagai seorang tukang masak.
“Saya tidak pernah bermimpi, jauh sekali berangan-angan yang suatu hari akan berdiri di sini.
“Ramai beranggapan tukang masak ini kerjaya mudah tetapi hakikat untuk menjadi yang berwibawa perlu dedikasi, disiplin dan memerlukan perasaan kasih sayang terhadap juadah yang dihidangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menerima anugerah yang disampaikan Canselor UUM, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Selain, Chef Wan, Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dr Fng Ah Seng turut dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Tanggungjawab Sosial Korporat).
Fng Ah Seng ketika ditemui mengakui anugerah yang diterimanya membakar semangat untuk membantu lebih ramai pelajar di institusi pengajian tinggi.
“Saya kini giat berkongsi pengalaman hidup dan rahsia kejayaan dalam bidang perniagaan kepada pelajar.
“Selain itu juga aktif menyumbang tenaga dan kewangan kepada institusi pengajian tinggi memandangkan bajet untuk universiti dikurangkan.
“Saya berharap lebih ramai usahawan dan pihak swasta dapat menyalurkan sumbangan kepada institusi pengajian tinggi,” katanya.
Sumber: BH Online
Sumber Chef Wan terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah
0 Response to "Chef Wan terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah"
Post a Comment