Apa Motif Perogol Merogol?

Di forum internet terkenal, Reddit, terdapat soalan diajukan untuk para perogol pada tahun 2012.

Soalan itu lebih kurang nak tahu motivasi perogol melakukan perbuatan tak bermoral itu. Apakah perogol menyesal? Kenapa dia merogol? Lebih kurang begitulah.

Pada tahun 2017, sekumpulan penyelidik dari Georgia State University yang diketuai oleh Tracy N. Hipp telah menerbitkan sebuah kajian yang memaparkan justifikasi jenayah rogol.

Mereka gunakan maklumbalas daripada soalan itu untuk dibuat kajian. Mereka dapat kumpulkan sebanyak 12,000 maklumbalas.

Mereka juga memilih sebanyak 68 buah akaun yang diakui sebagai perogol untuk mengkaji lebih lanjut.

1. Motif pertama perogol yang mereka dapati adalah justifikasi rasional.

Antaranya perogol merogol dengan tafsiran kemahuan wanita berdasarkan piawaian perogol sendiri.

Perempuan kata tak mahu tapi perogol sangka, atas rasionalnya sendiri, perempuan itu mahu.

Kajian dapati seramai 36% yang bagi jawapan macam ini.

2. Motif kedua perogol adalah apa yang selalu kita canang iaitu ‘victim blaming’.

Rogol itu berlaku atas motif sebab perempuan itu pakai seksi-seksi dan tak tutup aurat.

Maksudnya meletakkan kesalahan pada mangsa. Sebanyak 29% yang bagi motif sebegini.

Menurut kajian mereka, yang 29% ini salahkan mangsa dengan kata mangsa terlalu mabuk ataupun cuba nak mengurat perogol.

3. Motif ketiga adalah kerana perogol mempunyai prejudis dan persepsi negatif terhadap wanita.

Mereka dapati persepsi negatif ini timbul kerana mereka tak dilayan dengan baik oleh wanita.

Dikatakan kenegatifan ini terbawa-bawa sehingga ke alam seks. Mereka memberikan respon terhadap kenegatifan ini dengan merogol mangsa.

Terdapat seorang perogol menyatakan bahawa dia merogol seorang wanita kerana wanita itu muntah di katilnya. Pelik!

Jumlah mereka yang mempunyai motif ini seramai 24%. Ini yang penyelidik namakan sebagai ‘hostile sexism’.

4. Motif keempat adalah disebabkan oleh aspek biologi.

Dalam kajian ini mereka dapati terdapat perogol menyatakan mereka tak mahu pun merogol tapi disebabkan oleh masalah biologi dalam tubuh.

Sebenarnya memang ada kajian yang membuktikan perkara ini walaupun perogol itu cuma jawab, “Aku tak dapat kawal hormon seks aku yang menggila!”

Pada tahun 2000, dua orang saintis Amerika Syarikat, Craig T. Palmer dan Randy Thornhill telah menimbulkan kenyataan kontroversi apabila mereka menyatakan rogol bukan jenayah tapi salah satu daripada strategi alternatif untuk membiak dan ia adalah fitrah.

Selain daripada penerbitan buku mereka, ‘A Natural History of Rape: The Biological Bases on Sexual Coercion’, kajian mereka turut diterbitkan oleh The Science.

Rogol sebagai jenayah menurut mereka adalah teori yang ditimbulkan oleh seorang feminis pada tahun 1975, Susan Brownmiller yang menyatakan rogol sebagai satu perbuatan lelaki mahu mendominasi wanita.

Kajian dua orang saintis ini turut dikritik teruk oleh saintis-saintis lain. Jerry Coyne dari University of Chicago kata buku mereka sebagai buku yang teruk dalam bidang psikologi evolusi.

Motif ini timbul kerana ketagihan dan selalu menonton bahan lucah yang mendorong ke gejala rogol.

5. Motif kelima adalah melihat wanita hanyalah sebagai objek seks.

Ini adalah motif yang materialistik. Biasanya perogol akan cari mangsa yang cantik-cantik dan menarik perhatian. Seramai 18% yang menyatakan motif ini.

Terdapat seorang perogol kata wanita ini bukan lagi manusia. Tapi cuma sekadar barang seks.

Motif kelima adalah kerana sosioseksual. Sosioseksual ini lebih kurang macam budaya seks bebas. Biasanya sosioseksual ini merujuk pada seks yang berlaku tanpa kau ada perasaan romantik dan mahukan hubungan yang serius dengan pasangan seks.

Ia boleh berlaku pada lelaki mahupun wanita. Contoh ini kau dapat lihat dalam drama-drama dan filem Barat. Lepak-lepak di bar, jumpa perempuan cantik, sembang-sembang. Kemudian, buat seks. Esoknya terus tak berjumpa.

Lelaki yang playboy dalam kalangan masyarakat Barat biasanya ada personaliti sosioseksualiti.

Untuk kes rogol ini motif ini merujuk pada perogol rasa bosan dengan seks berbentuk kasual, jadi dia merogol sebagai satu bentuk seks paksaan yang dia mahukan dan sebagai salah satu bentuk seks sosioseksualnya.

Hasil daripada kajian ini, tak semestinya perogol cuma mempunyai 1 motif saja untuk merogol. Dia boleh ada dua-tiga motif, malah semua motif untuk justifikasi-kan tindakannya.

Ya, kes rogol ini bukan sekadar ‘jaga pandangan’ dan ‘aurat’. Ia lebih daripada itu. Perogol lebih tahu apa masalah yang mengantui dirinya.

Zamir Mohyedin


Sumber Apa Motif Perogol Merogol?

Related Posts :

0 Response to "Apa Motif Perogol Merogol?"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect