LEBIH tiga dekad Search mengukir nama sebagai band rock unggul negara dengan pelbagai pengiktirafan, kumpulan yang sangat dekat di hati Yazit Ahmad ini juga tidak dapat lari daripada krisis. Beberapa episod kekalutan yang berlaku, termasuk membabitkan laporan polis, sedikit mencalar reputasi kumpulan itu.
Berbalas pula kenyataan antara kedua-dua pihak, ia sekali gus mengusutkan keadaan. Bukan setakat itu, saat meniti usia semakin meningkat, penyakit juga mula menyapa dirinya.
PEMAIN dram Search, Yazit Ahmad. - Foto Amirudin Sahib.
Yazit menderita penyakit komplikasi buah pinggang sejak lebih sedekad lalu dan beberapa tahun kebelakangan ini, tahap kesihatannya semakin menurun hingga perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu, selain ubatan dengan kos hampir mencecah RM3,000 sebulan.
Namun semangat seorang seniman yang ada pada lelaki ini sukar untuk dinafikan. Dalam keadaan sakit, Yazit berjaya melunaskan tugasannya sebagai pemain dram pada persembahan Search di Istana Budaya pada 2014.
"Muzik adalah dunia saya selamanya dan saya terima apa juga ketentuan Allah. Semua yang terjadi ada hikmahnya. Ujian ini mengingatkan saya supaya mengingati-Nya. Saya lebih khusyuk dengan ibadat dan tidak lagi terkejar-kejar perkara duniawi.
"Apa pun, dalam keadaan seperti sekarang, saya enggan menyusahkan orang. Selagi ada kudrat, saya cuba mencari rezeki termasuk mengadakan klinik dram. Saya tahu, ada yang tertawa dan ingat saya cuma mahu dikasihani. Saya tak kisah, saya percayakan rezeki daripada Yang Maha Esa," katanya penuh makna.
YAZIT dan isteri berpindah ke rumah yang mempunyai kemudahan lif bagi kemudahan dan keselesaannya. - Foto Amirudin Sahib.
Bertuah ditemukan isteri baik
Bagi Yazit, selagi ada hayat, beliau akan terus berjuang sama ada demi muzik yang dibawa mahupun kumpulan dibina, meskipun hakikatnya kini berdepan dengan kemelut.
Berbekalkan semangat masih bersisa, beliau tidak pernah menolak apabila mendapat undangan mana-mana pihak untuk sebarang persembahan atau tujuan berkaitan.
Apa yang dilafazkan lelaki ini merujuk kepada beberapa insiden termasuk terkandas di Brunei, baru-baru ini, selepas menghadiri jemputan menjadi juri sebuah pertandingan.
"Ketika pergi dan sepanjang acara saya baik-baik sahaja. Cuma, waktu mahu pulang tahap kesihatan saya menurun tiba-tiba hingga dikejarkan ke hospital. Sebenarnya saya sudah biasa ditahan di wad akibat sakit dan kadangkala sesak nafas.
"Syukur usia saya masih panjang dan sentiasa dipermudahkan untuk urusan berkaitan dengan kesihatan. Boleh dikatakan kebanyakan hospital saya sudah singgah.
"Saya juga beruntung kerana dikurniakan seorang isteri yang setia di sisi sejak kami mula berjumpa dulu pada zaman Red Rooster hinggalah saya diuji begini," katanya.
YAZIT (tengah) bersama kumpulan Search.
Bagai darah daging sendiri
Ramlah Ahmad, 58, bukan hanya isteri dan teman hidup, malah dialah saksi utama dalam setiap rakaman hidup pemain dram itu sejak sejak mendirikan rumah tangga pada 1984.
Bertanya kepada suri hati Yazit ini mengenai susur galur hidup suaminya sejak awal bersama kumpulan Search sehingga ke hari ini, akuinya ia membibitkan banyak lipatan memori.
Ramlah atau mesra disapa Ram menegaskan, kumpulan itu adalah nadi dan kehidupan Yazit. Tiada yang lebih utama, melainkan Search sejak awal penubuhan hingga sekarang.
"Saya yakin seinci pun tidak pernah kurang rasa sayang abang (Yazit) pada Search. Mereka bukan bersatu kerana kerjaya semata-mata, tetapi akrab bagai darah daging sendiri.
"Saya tahu setiap kali apabila lihat abang termenung, paling tidak antara penyebab utamanya ialah kerana Search," luahnya lagi dengan mata yang bergenang.
Percaya akan berdamai juga nanti
Bukan emosi sembarangan, Ramlah berkata, beliau antara orang yang berada di sisi Yazit dan melihat sendiri lembaran perjalanan kumpulan itu, sekali gus turut merasai susah senang mereka hingga berjaya mencipta empayar muzik tersendiri.
"Sayangnya abang pada kumpulan ini lebih daripada keluarga. Dengan keluarga pun dia tidak sebegini. Saya yakin kasih sayang dengan Search terus utuh seperti sejak saya mengenalinya sekitar 80-an dulu," katanya lagi sambil tersenyum.
Ditanya mengenai kemelut yang melanda suaminya dan anggota lain, Ramlah terdiam seketika. Wanita ini yakin jauh di sudut hatinya beliau percaya mereka akan berdamai juga satu hari nanti.
"Saya tahu ada kala dia banyak diam dan berfikir. Saya tidak perlu tanya kerana kami memang sudah lama hidup bersama. Saya tidak malu mengaku kumpulan Search yang lain juga seperti adik-adik saya, kami pernah hidup bersama dan kongsi makanan. Itulah kami," katanya.
Ramlah berkata, beliau selalu memberitahu Yazit, walau apa pun yang berlaku dirinya akan setia di sisi begitu juga dengan anak-anak. Janjinya kepada suami, susah senang mereka akan tetap hidup bersama.
"Saya beritahu dia jangan risau, kami anak-beranak ada dan tidak akan biarkan abang sendirian. Bila sakit, saya pujuk abang supaya makan ubat dan jaga kesihatan. Soal rezeki saya beritahu dia kita sama-sama usaha.
"Saya selalu cakap padanya, kalau kita susah ada orang yang lebih teruk daripada kehidupan kita. Jangan merungut atau sedih, sebaliknya berusaha," katanya.
Pindah rumah demi suami
Sebagai contoh, katanya sebaik Yazit sakit, mereka terpaksa berpindah ke rumah yang mempunyai kemudahan lif kerana kediaman sedia ada memaksa dirinya menaiki tangga.
Dia berkata, demi keselesaan suami selain memudahkan petugas kesihatan, sejak empat tahun lalu mereka menyewa di tempat sekarang dengan kadar hampir RM2,000 sebulan.
"Rumah yang dibeli kami sewakan untuk tampung sewa kediaman yang diduduki sekarang. Bukan mahu menunjuk-nunjuk, tetapi lebih kepada keperluan abang. Lokasi pun dekat dengan hospital. Dulu apabila abang sesak nafas atau tiba-tiba sakit, petugas ambulans juga sukar untuk memanjat tangga.
"Dalam keadaannya kini, naik turun tangga membuatkan nafasnya laju. Sekarang abang tampak agak cergas. Malah masih dapat memandu ke tempat dialisis. Bolehlah memandu dekat-dekat, janji tak susahkan orang.
"Kami juga bersyukur abang dapat sokongan kawan seperti Shaari dan Mohd Nasir yang membantu menambah pendapatan menerusi jualan barangan Rampage," katanya.
Rampage adalah kumpulan yang ditubuhkan Yazit kira-kira 17 tahun lalu ketika vokalis Search, Amy, keluar memilih haluan sendiri.
Buat beg tambah pendapatan
Ramlah berkata, antara punca pendapatan sekarang adalah melalui penjualan kemeja-T Rampage yang dijual pada acara tertentu selain undangan persembahan bersama kumpulan itu.
Bukan setakat itu, beliau turut menjual hasil kraftangan buatan tangan, iaitu beg perincian manik premium, yang mendapat sambutan memberangsangkan.
"Saya sudah lama belajar buat beg, sejak 20 tahun dulu. Alhamdulillah, tempahan pun ada, termasuk dalam kalangan teman artis. Saya berterima kasih kepada isteri Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa, yang menyokong bisnes kecil-kecilan ini, begitu juga teman artis lain," katanya yang turut menerima tempahan menerusi laman sosial.
Dia gembira kerana dengan kemahiran dimiliki turut membantu menjana pendapatan bagi menampung kehidupan serta kos perbelanjaan suami.
"Saya seronok dapat bantu keluarga. Saya turut bawa hasil kerja saya ini setiap kali mengikut abang menghadiri undangan. Syukur kerana kunjungan di Brunei tempoh hari, saya turut mendapat tempahan," katanya.
Bantu apa yang termampu
Mengenai bantuan diterima, Ramlah berkata dirinya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang meringankan beban serta bertanya khabar.
Akuinya, ramai yang prihatin dan sering mengambil berat terhadap Yazit, terutamanya setiap kali dimasukkan ke wad.
"Ramai yang masih sayang pada abang dan sentiasa ambil berat. Semua itu adalah semangat yang sangat kami hargai. Kami tidak mahu meminta-minta dan selagi ada daya, kami akan berusaha. Saya masih ingat abang pernah berbisik, layanan diterima di Brunei membuatkan dia cukup terharu," kongsinya.
Sementara itu, Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave, ketika dihubungi berkata, pihaknya maklum mengenai apa yang dilalui Yazit selaku pemuzik yang mempunyai nama besar di negara ini.
Katanya, YA1M sentiasa berusaha menjaga kebajikan artis terbabit dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya.
"Kami sudah beberapa kali menghulurkan sumbangan kepada Yazit bagi meringankan bebanan ditanggung. Kita hanya boleh membantu dan melihat dari aspek kebajikan.
"Kita juga mungkin akan melihat bagaimana yayasan boleh membantu Yazit dalam menganjurkan aktiviti untuk menjana pendapatan seperti klinik dram," katanya.
Info Yazit dan Search
- Nama sebenar Yazit ialah Yazit Ahmad.
- Berusia 55 tahun dan dilahirkan di Johor.
- Berkahwin dengan Ramlah Ahmad dan mempunyai tiga anak (termasuk anak tiri hasil perkahwinan terdahulu Ramlah).
- Yazit adalah pengasas dan anggota asal Search.
- Search ditubuhkan pada 1981 dengan anggota asal Zainal sebagai penyanyi, Hillary Ang (gitar), Nasir Daud (gitar bes) dan Yazit (dram).
- Zainal meninggalkan Search dan tempatnya diambil alih Suhaimi Abdul Rahman atau Amy.
- Menghasilkan lebih 20 album studio, antaranya Cinta Buatan Malaysia, Langit Dan Bumi, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Fenomena dan Gothik Malam Edan.
- Dinobatkan Penyanyi Berkumpulan Popular, Anugerah Pelakon / Penyanyi Popular Berita Harian (1987 dan 1989)
- Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH 2012.
Sumber Yazit cari rezeki sendiri selagi ada kudrat
0 Response to "Yazit cari rezeki sendiri selagi ada kudrat"
Post a Comment