Sejak munculnya media sosial ramai orang mula menggunakan medium ini untuk mempamer pandangan dan hasil penulisan masing-masing. Tidak terkecuali juga ada yang menggunakan ruang ini untuk menulis ulasan filem.
Menulis ulasan filem bukanlah mempunyai peraturan formal dan amat berbeza dengan penulisan kritik filem. Ulasan cuma pandangan penonton selepas menonton sesebuah filem.
Ulasan biasanya tidak melihat hal filem itu secara dalam dan meluas seperti dilakukan pengkritik, ulasan biasanya lebih kepada pandangan pada ketika itu, pandangan selepas menonton.
Ada juga ulasan ini datang dalam bentuk rating di hujungnya dan memberikan satu bentuk penilaian objektif kepada sesebuah filem yang ditonton.
Ulasan ialah penulisan penting dalam filem kerana ia menghidupkan sesebuah filem, sama seperti penulisan kritik, namun kritik memiliki kaedah yang lebih khusus dan kompleks.
Semua orang boleh menulis ulasan, tetap bukan semua orang dapat menulis kritik.
Saya juga selalu menulis ulasan filem dan ada tiga perkara penting yang selalu saya gariskan sebagai panduan sendiri dan mungkin juga boleh dijadikan panduan kepada kawan-kawan yang mahu menulis filem.
Pertama apabila menulis ulasan saya tidak akan menyentuh tentang sinopsis filem berkenaan secara menyeluruh. maksudnya, saya tidak akan menulis satu perenggan khas tentang perjalanan cerita itu, saya biarkan hal itu menjadi misteri dan biarkan orang untuk menontonnya sendiri.
Saya tak akan menulis perenggan “Filem ini mengisahkan tentang…” Fahamkan maksud saya?
Kedua jangan sesekali mendedahkan sebarang point penting yang boleh menjurus kepada spoiler. Ini amat mengganggu ulasan itu sebenarnya. Namun, jika anda tetap mahu menyentuh poin berkenaan sehingga mendedahkan spoiler, maka anda harus memberi amaran di perenggan awal ulasan anda.
Ketiga saya bukan orang yang akan meletakkan rating kepada filem. Berapa per 10, berapa bintang dan sebagainya. Bagi saya filem tidak sesuai dinilai sebegitu rupa kerana menonton filem ialah satu pengalaman dan pengalaman ialah perasaan, jika bagus akan tersimpan dalam memori dan jika tidak akan terpadam dengan sendiri.
Akhir kata tulislah ulasan selepas setiap kali menonton, tetapi jangan sesekali mempengaruhi orang lain agar jangan menonton sesebuah filem dalam ulasan anda kerana seperti yang saya cakapkan tadi menonton filem ialah pengalaman dan percayakan mata sendiri untuk mengumpul pengalaman ini.
Daniyal Kadir
Sumber Tips Review Filem Untuk Noob
0 Response to "Tips Review Filem Untuk Noob"
Post a Comment