Polis Kajang memburu empat perompak bersenjata pistol dan tukul besi yang melarikan kira-kira 10 dulang barang kemas di sebuah kedai emas. — Paparan skrin GoogleKUALA LUMPUR, 19 Okt — Empat lelaki dipercayai bersenjatakan pistol dan tukul besi melarikan kira-kira 10 dulang barang kemas dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di pusat beli belah di Kajang dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, empat lelaki berkenaan bertindak masuk ke kedai emas tersebut dan memukul seorang pekerja wanita berusia 43 tahun yang berada di meja pameran menggunakan pistol di bahagian kepala.
Ketua polis daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata suspek kemudian bertindak memecahkan meja pameran dan mengambil barang kemas sebelum melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Waja.
“Jumlah kerugian barang kemas yang dilarikan belum dipastikan lagi dan pekerja wanita itu mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Ahmad Dzaffir berkata polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam premis berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Kedai emas ini beroperasi sejak 2014 dan ini kali pertama ia dirompak,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat. — Bernama
Sumber Pukul pekerja wanita guna pistol, kedai emas dirompak
0 Response to "Pukul pekerja wanita guna pistol, kedai emas dirompak"
Post a Comment