‘Presiden tak boleh pilih pemain’

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim boleh memberi pandangan dalam usaha meningkatkan prestasi semasa skuad Harimau Malaya tetapi perlu mengelak daripada mencampuri aspek pemilihan pemain.

Perkara itu disuarakan bekas jurulatih dan pemain skuad kebangsaan yang menyifatkan usaha Tunku Ismail untuk berada lebih dekat dengan skuad kebangsaan satu langkah baik.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh berkata, tugas memilih pemain dan membentuk pasukan 100 peratus terletak di bawah tanggungjawab jurulatih.

“Memang bagus jika presiden FAM mahu menyumbang pandangan dan berada lebih dekat dengan pasukan kebangsaan.

“Tapi, tugas jurulatih biarlah mereka bertanggungjawab. Kalau ada orang lain nak campur tangan hingga ke hal pemilihan pemain, itu tak patut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketika menjawab soalan ahli panel dalam satu sesi soal jawab di JDT Cafe, Johor Bahru semalam, Tunku Ismail menjelaskan sudah tiba masa untuk beliau merapatkan jurang dengan pengurusan pasukan kebangsaan.

“Jurang saya dengan organisasi pasukan kebangsaan agak besar sekarang. Sudah tiba masa saya lebih dekat, lebih banyak bersuara dengan mereka.

“Untuk beberapa bulan sebelum ini, saya bagi mereka kebebasan, pilih (pemain) mana hendak pilih. Tak hendak pilih pun tak apa, buat apa yang hendak buat yang penting (dapat) keputusan baik.

“Saya bukan suka-suka nak masuk campur, tapi saya terpaksa. Apa yang penting adalah teras dalam sesuatu pasukan itu,” kata Tunku Ismail.

Sementara itu, bekas jurulatih dan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar yang turut senada dengan Shukor berkata, mana-mana pengurusan sukan tidak boleh mengganggu tugas utama jurulatih kerana mereka yang akan bertanggungjawab terhadap keputusan yang bakal diraih pasukan.

“Saya pernah jadi pengurus pasukan, dan saya juga pernah bagi pandangan kepada jurulatih. Tapi tidak campur tangan dalam hal penting seperti pemilihan pemain.

“Kita cuma boleh bagi pandangan, kalau mereka nak dengan atau tidak, itu terpulang. Ia kerana jika keputusan teruk, jurulatih orang pertama yang perlu bertanggungjawab,” katanya.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Kamaruddin Abdullah berkata: “Memang tugas presiden untuk menjadi individu paling dekat dengan pemain dan jurulatih.

“Malah, presiden berhak melontarkan pandangan, namun tidak boleh sampai mengganggu tugas utama jurulatih.”

Sumber: BH Online



Sumber ‘Presiden tak boleh pilih pemain’

Related Posts :

0 Response to "‘Presiden tak boleh pilih pemain’"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect