1. RIUH seluruh negara apabila tersebar dokumen Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat yang baru dikeluarkan daripada senarai dokumen rahsia. Dokumen yang bertajuk ‘Implications of Dispute over Sarawak Continental Shelf’ itu didatangkan dengan tafsiran negatif tentang hubungan Kuala Lumpur-Sarawak-Sabah sekitar penggubalan Akta Pelantar Benua 1966.
2. Kerajaan pusat di Kuala Lumpur dituduh melanggar Perjanjian Malaysia 1963 apabila mengambilalih hak perairan Sarawak (dan Sabah) yang melebihi 3 batu dengan kuasa ‘Darurat’. Dalam keadaan kerajaan sementara Sarawak yang lemah selepas ‘Kuala Lumpur mengusir ketua menteri Tan Sri Stephen Kalong Ningkan’, mereka akhirnya terpaksa bersetuju dengan ‘tekanan’ Kuala Lumpur.
3. Kerajaan Sarawak dituduh hanya menerima ‘konsesi kecil’ apabila Akta Pembangunan Petroleum 1974 memperuntukkan bayaran tunai “royalti 5%” kepada Sarawak. Sedangkan, dokumen CIA itu menunjukkan hak Sarawak untuk mengeksploitasi mineral di kawasan perairan dan pelantar benuanya sepertimana yang ditegaskan Peguam Negara sementara Sarawak ketika itu, Tan Sri Jemuri Serjan.
4. Hujah beliau ini disandarkan pada keputusan Majlis Negeri 1954 yang disokong Ordinan Menggali Minyak 1958 yang sepatutnya dihormati apabila Sarawak menyertai Malaysia, bukannya ‘dirampas’ sebagaimana di bawah Akta Pelantar Benua 1966 tersebut.
5. Keadaan semasa bertambah hangat dengan tuduhan Akta Laut Wilayah 2012 telah memberi lebih banyak kuasa kepada kerajaan pusat iaitu hingga 12 batu nautika perairan meskipun ia sebenarnya menuruti undang-undang antarabangsa. Tun Dr. Mahathir dalam ceramah Pakatan Harapan di Kuching pada September baru-baru ini bahkan berjanji untuk menaikkan royalti minyak Sabah dan Sarawak daripada 5% kepada 20%.
6. Sebenarnya perkembangan masalah kerajaan pusat-negeri serta pertelingkahan politik ini selari dengan pola geopolitik dunia hari ini. Tidak berapa lama selepas Kurdistan mengadakan referendum dari Utara Iraq, kini giliran Catalonia pula mengisytiharkan pemisahan dari Sepanyol. Sebelum ini dunia menyaksikan Scotland cuba untuk keluar dari Great Britain, Britain pula keluar dari Kesatuan Eropah (EU), sementara Crimea mengisytiharkan kemerdekaan dari Ukraine dan menyertai Persekutuan Rusia.
7. Rentetan senario disintegrasi wilayah politik ini mengundang resah di seluruh dunia, bukan sahaja di Sepanyol. Mengapa Catalonia menuntut kemerdekaan dari Sepanyol? Apakah impak peristiwa referendum ini? Apa pula perspektif kita di Malaysia dalam isu ini?
8. Catalonia ialah salah satu daripada 17 wilayah autonomi di Sepanyol yang kini memiliki kepadatan penduduk melebihi 7 juta orang. Mereka memiliki sejarah, budaya, dan bahasanya yang tersendiri. Apabila ibu negeri Catalonia, iaitu Barcelona ditakluk oleh Monarki Bourbon Sepanyol yang pertama Raja Felipe V pada 11 September 1714 serta membawa kepada pemerintahan diktator Jeneral Francisco Franco, autonomi dan kuasa politik Catalan telah tunduk di bawah Sepanyol. Bagaimanapun, kuasa ekonomi Catalonia tidak pernah pudar sejak era Revolusi Perindustrian hingga kini menyamai ekonomi negara Portugal.
9. Perlembagaan demokratik yang digunapakai selepas kematian Franco telah menjadikannya negara desentralisasi yang bukan sepenuhnya bersistem persekutuan (federal). Keadaan ini memberikan Catalonia sedikit-sebanyak autonomi politik di mana seiring perkembangan kesedaran arus politik, pemimpin Catalonia telah mulai menuntut lebih banyak autonomi politik. Walau bagaimanapun, apabila Mahkamah Perlembagaan menghalang pemberian lebih banyak kuasa autonomi dalam penghakiman pada tahun 2010, sentimen pemisahan dari Sepanyol mulai marak. Akibatnya, parti-parti politik pemisah yang cenderung kepada kemerdekaan Catalonia telah berjaya memerintah Catalonia mulai tahun 2015 dan seterusnya berjaya mengadakan referendum kemerdekaan pada 2017.
10. Impak referendum ini kepada Sepanyol umumnya boleh dibahagikan kepada beberapa sudut. Pertamanya merangkumi isu ekonomi. Isu ekonomi tidak dapat dinafikan menjadi tumpuan utama dalam kes Catalonia ini disebabkan hakikat bahawa wilayah tersebut merupakan wilayah penyumbang ekonomi yang besar buat kerajaan Sepanyol yang berpusat di Madrid. Dijangkakan bahawa Sepanyol bakal kehilangan 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seandainya Catalonia dibenarkan merdeka.
11. Dari segi politik dan perundangan pula, sama sekali berbeza dengan referendum kemerdekaan Scotland dari Great Britain serta referendum Brexit sewaktu Great Britain mengundi keluar dari Kesatuan Eropah, referendum Catalonia ini dilakukan secara unilateral iaitu sepihak. Dalam keadaan ini, referendum yang dilaksanakan ini sama sekali tidak melibatkan sebarang perjanjian dua pihak antara pihak Catalonia dengan kerajaan Sepanyol. Ternyata kerajaan Sepanyol di bawah kepimpinan Perdana Menteri Mariana Rajoy benar-benar ingin menjaga keutuhan politik dan ekonomi Sepanyol yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dibelenggu beban ‘Eurocrisis’.
12. Impak kepada Kesatuan Eropah (EU) juga tidak kurang signifikannya. Dalam keadaan Britain baru sahaja memilih untuk laluan ‘Brexit’ tahun lalu, EU pastinya tidak ingin integriti wilayah politiknya menjadi semakin mengecil. Apatah lagi dalam senario arus politik populisme Kanan yang berteraskan etnosentrisme – iaitu semangat berasaskan politik perkauman – semakin mendapat tempat meskipun parti seperti pimpinan Marine Le Pen tewas di Perancis dan Geert Wilders tumpas di Belanda. Kejayaan Parti kanan dan anti-imigran dalam Pilihan Raya Jerman baru-baru ini turut mengisyaratkan masa depan yang mencabar buat keutuhan Kesatuan Eropah.
13. Bagaimana pula dengan kita di Malaysia? Antara yang menjadi tumpuan pastinya isu Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang digemakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Seruan ‘Sarawak for Sarawakian’ sebagai contoh telah turut digemakan sewaktu Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun lalu meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjadikan sebarang kenyataan berbaur pemisahan wilayah Sabah dan Sarawak daripada Persekutuan Malaysia sebagai jenayah di bawah Akta Hasutan.
14. Sepertimana Catalonia, Sabah dan Sarawak juga memiliki gabungan pelbagai identiti, budaya, bahasa, sejarah, serta autonomi politik yang tersendiri. Malah dari segi ekonomi juga Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri terbesar dalam Persekutuan Malaysia dengan sumber alam dan hidrokarbon yang besar. Maka tidak hairanlah apabila terdapat seruan pihak berkepentingan yang menuduh Kerajaan Persekutuan sebagai tidak menghormati Tuntutan 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak sejak pembentukan Malaysia pada 1963.
15. Walau bagaimanapun, ketara sekali Semenanjung dan Sabah serta Sarawak saling memerlukan antara satu sama lain. Tiada siapa mampu menafikan sumbangan ekonomi Sabah dan Sarawak yang penting buat perkongsian bersama Semenanjung. Sarawak ialah negeri penyumbang KDNK ketiga terbesar di Malaysia dengan 10 peratus manakala Sabah pula ialah negeri penyumbang KDNK kelima terbesar dengan 6.6 peratus.
16. Sabah dan Sarawak pula masih memerlukan Persekutuan dengan Malaysia bagi menjamin survival kedua-dua negeri terbabit dalam persekitaran geopolitik Pasifik dan serantau yang makin mencabar hari ini seperti peluasan kuasa China di Laut China Selatan berhampiran Sarawak, tuntutan Filipina yang masih berhasrat untuk mengambilalih Sabah, di samping ancaman bukan tradisional seperti Abu Sayaf, Daesh, serta pelanunan di perairan Borneo. Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), penubuhan Markas Wilayah 4 TLDM di Bintulu, serta inisiatif Pangkalan Laut Tun Azizan serta Pangkalan Laut Sharifah Rodziah membuktikan keprihatinan ini.
17. Apatah lagi dalam keadaan model Persekutuan Malaysia semasa berupaya menjamin kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak sebagaimana yang digarisakan dalam Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan. Bukan sahaja Sabah dan Sarawak diberi pelbagai keistimewaan seperti posisi perjawatan awam, imigresen, percukaian, sistem kehakiman, pemeliharaan adat dan budaya setempat, malah dari segi peruntukan dan pembasmian kemiskinan juga mereka tidak dipinggirkan.
18. Malah, Kerajaan Persekutuan menghormati langkah Kerajaan Negeri Sarawak menghantar pasukan peguam ke London bagi menyemak kembali hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia di samping usaha kerajaan negeri Sarawak menubuhkan syarikat petroleum tersendiri iaitu ‘Petros’.
19. Pastinya diakui, masih banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan dari semasa ke semasa antara kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak di bawah rangka Persekutuan Malaysia hari ini, dengan satu syarat: langkah saling ‘berkonfrontasi’ sepertimana yang terjadi antara Sepanyol dengan Catalonia perlu dijauhi.
ABDUL MUEIN ABADI
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber: Sinar Harian
Sumber Lindungi Sabah dan Sarawak daripada Tragedi Catalonia yang menuntut kemerdekaan dari Sepanyol
0 Response to "Lindungi Sabah dan Sarawak daripada Tragedi Catalonia yang menuntut kemerdekaan dari Sepanyol"
Post a Comment