Siapa yang gemar memakai jeans pasti mengenali jenama Levi’s. Ia merupakan antara jenama fesyen yang terkenal di dunia dan mempunyai kedai yang beroperasi di 110 buah negara termasuklah di Malaysia.
Pengasasnya adalah Lob Strauss, seorang lelaki bangsa Yahudi yang datang berhijrah ke Amerika pada tahun 1843.
Berikut adalah bagaimana lelaki biasa yang hanya bekerja di ladang ini mampu mencipta jenama dan syarikat yang menjadi ikon dan kebanggaan Amerika Syarikat:
#1-Kisah Lob Strauss Menjadi Levi Strauss.
Dia dilahirkan di Jerman pada tahun 1829. Lob berhijrah ke New York bersama ibu dan dua orang saudara perempuannya sebelum tinggal bersama bapa saudaranya di sebuah ladang di Kentucky.
Enggan mewarisi pekerjaan menguruskan ladang milik bapa saudaranya, 4 tahun kemudian dia berkelana di sekitar Kentucky sambil menjual pakaian yang dibawa dalam beg galasnya.
Dia kemudiannya berpindah kembali ke New York tempat tinggal saudara sebelah ibunya dan bersama-sama bergabung untuk menjual pakaian.
Saudara ibunya terlebih dahulu telah mempunyai perusahaan kain borong dan memiliki kedai jahit.
Mereka telah menggunakan nama ‘Levi’ sebagai jenama pakaian mereka.
Ketika berusia 23 tahun, Strauss berpindah ke California setelah mendapat kerakyatan Amerika.
Bermula pada tahun 1855, California menjadi tempat tumpuan pelombong emas. Hampir 300,000 orang telah mejumpai lombong emas pertama di Nevada dan segelintir daripada mereka telah menjadi kaya.
Dilaporkan, emas bernilai 43 juta dolar diangkut dari lombong ini setiap tahun.
Kebanyakkan pelombong berkhemah di di dalam khemah atau kereta kuda.
Daripada sini, Strauss dan abang iparnya melihat ini sebagai satu peluang untuk berniaga barangan seperti kain, gunting, butang, benang,selimut dan kain kanvas untuk memenuhi keperluan pelombong.
Rentetan dari ini mereka menjadi pembekal dan pemborong barangan kering di seluruh Barat Amerika.
Banyak kedai-kedai yang memborong daripada mereka dan bisnes mereka semakin maju. Strauss tidak mudah lupa diri walaupun telah berjaya dalam bisnes.
Beliau telah menderma sebanyak 5 juta dolar kepada sebuah rumah anak yatim di San Fransisco pada ketika itu.
#2-Levi Mula Bergelar Usahawan Yang Berjaya.
Walaupun sudah mempunyai pasaran sendiri di seluruh Barat Amerika, dia masih berniaga di kawasan lombong yang merupakan penempatan pelanggan-pelanggan pertamanya dahulu.
Dia tetap menjual secara lansung dengan membawa kereta kuda yang sarat dengan barangan ke kawasan kem lombong.
Dia kemudian mendengar keluhan para pelombong yang mengatakan seluar yang mereka pakai tidak tahan lasak dan mudah terkoyak.
Akibatnya, bijih timah yang diletakkan di dalam poket mereka tercicir dan menyebabkan mereka rugi.
Strauss atau sudah popular dengan panggilan Levi telah mula menghasilkan baju berpoket yang diperbuat daripada kain kanvas agar tahan lasak, tidak mudah koyak agar dapat memenuhi keperluan mereka.
Baju ini mendapat sambutan yang hangat menyebabkan Levi kehabisan bekalan kain kanvas untuk meneruskan lagi jualan.
Dia kemudian menggantikannya dengan fabrik lain yang juga tahan lasak yang diimport dari Perancis.
Fabrik ‘serge de Nimes’ yang diambil daripada nama sebuah kota di Perancis kemudiannya kini dikenali sebagai fabrik denim.
Bermula daripada sini, syarikat Levi Strauss&Co. telah berkembang pesat dan mereka memindahkan pejabat mereka ke San Fransisco.
#3-Bagaimana Seluar Jean Biru Pertama Dunia Tercipta.
Jacob Davis, salah seorang pelanggan syarikat Levi’s yang juga merupakan seorang tukang jahit telah menghantar sepucuk surat kepada beliau pada tahun 1872.
Dia memberitahu Levi yang dia telah mencipta satu proses yang berhasilkan meletakkan rivet logam pada tempat merenggang seluar lelaki.
Namun, oleh kerana kekurangan modal, dia tidak dapat mengeluarkan produk inovasi ini bersendirian lalu memohon Levi untuk membuat kertas kerja dan menyuntik modal bagi permohonan paten dan pengeluaran.
Setahun kemudian, mereka berjaya mendapatkan paten produk dan dengan menggunakan kain denim mereka mula membuat baju monyet pinggang yang berwarna biru, pertama kali seumpamanya di dunia.
Inilah jean biru pertama dunia yang menjadi ikutan pemakainya dan pesaingnya hingga ke hari ini.
#4-Penerimaan Budaya Fesyen Seluar Baharu Oleh Masyarakat.
Pernah suatu masa dahulu, sekitar tahun 50-an, seorang kolonel tentera Amerika di Jerman mengharamkan isteri para tentera memakai seluar Levi’s kerana dipercayai membawa pengaruh yang buruk kepada negara.
Pada ketika itu, seluar Levi’s telah popular dalam kalangan remaja berusia belasan tahun.
Bukan golongan ini sahaja, seluar Levi’s telah digunakan oleh pelbagai golongan tanpa mengenal usia termasuklah komuniti koboi, penunggang motor besar dan lain-lain.
Syarikat ini kekal membuat keuntungan dan mempelbagaikan pelbagai produk menggunakan kain denimnya walaupun pengasasnya Levi Strauss telah meninggal pada tahun 1902.
Syarikat ini juga mula dibuka pada awam pada tahun 1971.
#5-Kejatuhan Syarikat Levi’s Menjadi Satu Tanda Tanya Dalam Sejarah Organisasi Dunia.
Menjelang tahun 80-an, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Syarikat Levi’s mula mengalami pembaziran wang.
Mereka melaburkan wang untuk tujuan yang tidak mendatangkan keuntungan pada syarikat dan tidak lagi memberi fokus kepada pelanggan utamanya iaitu golongan muda sedangkan merekalah yang banyak memberi keuntungan kepada syarikat Levi’s.
Syarikat ini hampir ditutup kerana kehilangan fokus utama dalam syarikat walaupun tiada masalah dalam persaingan, pengeluaran atau operasi syarikat sehingga menjadi kajian korporat yang popular pada ketika itu.
Akhirnya, syarikat Levi’s berjaya diselamatkan setelah mereka membuat keputusan untuk memberi fokus kepada produk teras yang memberi keuntungan kepada mereka iaitu seluar jean biru kegemaran rakyat Amerika.
Merek juga mula membuat pengiklanan secara aktif bagi menarik semula pelanggan lama mereka yang merasakan syarikat ini sudah tidak ada harapan lagi dan hilang fokus.
Strategi mereka berjaya dimana pelanggan mereka kembali menyokong jean biru keluaran syarikat Levi’s.
#6-Jenama Levi Sukar Untuk Ditandingi.
Kedai-kedai di seluruh Amerika kekal berfungsi hingga ke hari ini. Dikatakan di Moscow, pernah terjadi apabila semua stok seluar Levi’s telah habis dalam masa satu hari ia dijual.
Pada tahun 1985, syarikat ini kembali menjadi milik persendirian apabila keturunan pengasas Levi ‘s mengambil alih dan menukar hak pemilikan.
Mutu dan kualiti seluar Levi’s tidak perlu dipertikaikan lagi. Oleh itu, ia menjadi jenama yang berjaya hingga ke hari ini.
Bahkan harganya menjadi semakin tinggi dan syarikat mengaut keuntungan dua kali ganda daripada pengeluar jean lain.
Bagi pengukuhan penjenamaan, mereka telah menaja banyak konsert-konsert besar dunia.
Syarikat ini dipuji kerana sangat prihatin dan menjaga kebajikan pekerjanya sejak dari dahulu lagi.
Pekerja yang mengalami masalah kewangan sering dibantu oleh pihak syarikat seperti memberi pinjaman, pendahuluan wang gaji dan lain-lain kelebihan dan bantuan.
Mereka juga dikenali kerana nilai kejujuran yang dipegang oleh syarikat semasa berurusan dengan pereka dan pembekal.
Levi’s merupakan satu-satunya syarikat yang tidak memecahkan isu perkauman di mana mereka melantik dan melayan semua pekerja dengan baik tanpa mengira bangsa dan kaum.
Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana pengasasnya, Levi Strauss sendiri adalah seorang yang sangat baik dan sentiasa membuat kebajikan sosial semasa hayatnya.
Jenama Levi adalah jenama global yang akan kekal hidup dan kukuh kerana rekaannya yang sangat praktikal dan tidak lapuk dek zaman.
Jenama ini bukan lagi menjadi jenama perseorangan sebaliknya telah menjadi jenama negara dan merupakan simbolik kepada Amerika Syarikat sendiri.
Sumber Jenama Levi’s: Dahulu Diguna Sebagai Pakaian Pekerja Lombong Kini Jadi Fesyen Ikutan Seluruh Dunia
0 Response to "Jenama Levi’s: Dahulu Diguna Sebagai Pakaian Pekerja Lombong Kini Jadi Fesyen Ikutan Seluruh Dunia"
Post a Comment