KUALA LUMPUR: Pelakon, Janna Nick, mengaku ada dalam kalangan teman dan peminat yang bimbang andai beliau juga akan turut terjebak dengan cinta lokasi bersama rakan gandingannya dalam drama, Coffee Prince.
Justeru, Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu awal-awal lagi menegaskan dirinya takkan terbabit dengan hubungan mesra bersama Fattah Amin.
Sebelum ini, Fattah kerap juga dikaitkan dengan cerita atau gosip cinta lokasi bersama teman gandingannya dalam drama lakonan mereka seperti Sherry Ibrahim, Neelofa dan Nur Fazura.
"Ketika timbul isu Fattah dipilih untuk menjayakan drama berkenaan, memang tidak dinafikan saya juga pastinya akan terkait sama. Malah, ramai juga yang bimbang saya akan terjebak dengan cinta lokasi.
"Maklum saja, sebelum ini wujud fenomena gabungan nama membabitkan aktor berkenaan dengan rakan gandingannya seperti LoFattah dan Fattzura.
"Saya bagaimanapun memberikan jaminan, tiada isu cinta lokasi akan terjadi kali ini. Bukan mahu bercakap besar, tetapi saya yakin ia takkan berlaku," kata Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 22.
Menurutnya, beliau lebih suka mengelak daripada terbabit dengan perhubungan sedemikian, tidak kiralah siapa saja aktor yang digandingkan dengannya dalam sesebuah karya.
Bersikap profesional, sepanjang kira-kira empat tahun aktif di arena lakonan, Janna sendiri sudah dipasangkan dengan deretan pelakon lelaki, termasuk mereka yang memegang status suami orang. Namun, tidak kedengaran sebarang cerita kononnya mereka menjalinkan hubungan selepas berlakon bersama.
Terbaru, Janna berlakon di sisi bintang Indonesia yang juga sudah mendirikan rumah tangga, Irwansyah, dalam drama usaha sama dua negara yang kini disiarkan menerusi TV3.
Kata Janna, apa saja status pelakon yang digandingkan dengannya, sama ada masih bujang ataupun suami orang, beliau harus menghormati mereka atas paksi kerja.
"Saya tidak melihat ruang untuk mencipta keserasian dengan pelakon gandingan sampai perlu bercinta atau berlebih-lebihan. Cara saya untuk wujudkan keserasian adalah dengan mula bersembang.
"Ada antara mereka yang lebih senior, justeru saya akan jadi macam abang dan adik, atau sebagai kawan. Kebiasaannya, saya akan rapat dengan pelakon gandingan sebagai kawan baik.
"Kalau pelakon itu sudah berkahwin pun, saya tidak melihatnya sebagai masalah. Sebelum ini pun, ramai juga hero saya untuk slot drama panjang sudah berumahtangga, contohnya Ashraf Muslim (Biar Aku Jadi Penunggu), Shukri Yahaya (Suami Tanpa Cinta) dan terbaru, Irwansyah, untuk drama Dia," katanya.
Dalam pada itu, pengaruh dimiliki Janna sebagai artis, termasuk di laman sosial, turut menarik minat syarikat konsesi lebuh raya PLUS hingga dilantik sebagai duta selama setahun.
"Saya amat teruja dengan peluang dan mandat ini. Tambah pula, mereka antara syarikat korporat terbesar di Malaysia. Pastinya saya bangga dan gembira untuk menjadi sebahagian daripada keluarga PLUS," katanya.
Sumber Janna takkan bercinta dengan Fattah
0 Response to "Janna takkan bercinta dengan Fattah"
Post a Comment