Kita semua sedar yang cuaca kini agak panas dan kering. Kanak-kanak mula mengalami sindrom-sindrom kepanasan seperti demam dan batuk kering.
Kesan ini juga dialami oleh orang dewasa di mana kita kerap rasa dahaga dan pening kepala.
Kepanasan ini boleh menyebabkan badan kita mengalami dehidrasi – kehilangan air yang melampau. Dehidrasi boleh membawa implikasi yang lebih teruk kepada tubuh badan kita seperti lelah, darah tinggi, alergi, sakit kulit dan demam panas.
Di sini, saya kongsikan 10 tips untuk kita amalkan pada waktu cuaca panas seperti ini bagi mengelakkan daripada mengalami dehidrasi.
1. Minum air secukupnya
Tidak kira berapa banyak kita cuba mengelakkannya, badan akan tetap kehilangan sedikit cecair melalui peluh semasa musim panas.
Jadi minum air yang mencukupi adalah perkara penting untuk mengelakkan dehidrasi. Sesetengah pakar mencadangkan minum 6-8 gelas air setiap hari.
Tetapi ingat keperluan bendalir berbeza dari orang ke orang bergantung kepada faktor seperti ketinggian, berat badan, aktiviti fizikal dan jenis kawasan yang anda tinggal. Kenalpasti keperluan diri kita.
2. Elakkan makanan berunsur diuretik
Diuretik adalah bahan atau makanan yang meningkatkan pengeluaran air kencing, yang seterusnya mengakibatkan kehilangan cecair dari badan.
Kita perlu elakkan tubuh dari kehilangan cecair berlebihan pada musim panas ini. Antara diuretik yang perlu kita elakkan adalah kopi, cola dan coklat.
3. Elakkan makanan yang pedas
Selain memberi kita masalah kesihatan yang lain seperti keasidan dan pembakaran jantung, makanan pedas juga menyumbang kepada kehilangan cecair badan dengan meningkatkan suhu badan dalaman.
Jadi untuk para penggemar makanan pedas, elakkan makanan pedas ketika cuaca panas ya.
4. Makan makanan tinggi potassium
Dehidrasi tidak bermakna tubuh kita hanya kehilangan air. Bersama dengan air, tubuh kita juga kehilangan sejumlah besar khasiat dan nutrien lain.
Dengan mengambil makanan tinggi potassium, ia membantu mengekalkan imbangan cecair di dalam badan, menghantar isyarat saraf dan juga pelepasan insulin. Antara makanan yang kaya potassium termasuk pisang, nanas, air kelapa dan mangga.
5. Kurangkan kerja atau aktiviti yang keras
Cuaca panas bukanlah penghalang kita dari melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Cuma kita kenalah kawal dan rancang agar kita hanya melakukan aktiviti yang sepatutnya.
Elak lakukan aktiviti yang terlalu keras atau memerlukan tenaga berlebihan. Dan amalkan pengambilan air semasa melakukan aktiviti.
6. Duduk di dalam rumah
Ini adalah cara terbaik untuk mencegah dehidrasi. Pendedahan langsung kepada matahari secara semula jadi menyebabkan badan berpeluh lebih banyak.
Apabila lebih berpeluh, badan lebih banyak kehilangan cecair. Oleh itu, elakkan keluar pada sebelah tengah hari dan petang apabila suhu mencapai puncaknya.
7. Pakai pakaian berwarna cerah dan longgar
Warna pakaian yang lebih gelap cenderung menyerap lebih banyak haba. Ianya akan menyebabkan peluh yang lebih banyak.
Pakaian yang ketat pula menghalang penyejukan luaran yang penting untuk badan kita. Oleh itu, pilihlah pakaian yang berwarna lebih cerah dan longgar serta selesa semasa keluar di bawah matahari.
8. Amalkan Yoga
Yoga adalah senaman santai dan mempunyai keupayaan untuk menenangkan saraf-saraf di dalam badan. Ianya baik bagi melegakan tekanan yang dialami oleh saraf-saraf disebabkan oleh suhu yang panas.
9. Elakkan merokok
Rokok tetap menjadi musuh utama kepada kesihatan tubuh badan. Asap rokok mengeringkan lapisan tekak dan menyebabkan sel-sel menjadi lebih dehidrasi.
Merokok juga memberikan isyarat kepada otak yang mendorong kehausan dan kekeringan sekaligus membuatkan badan kita terasa akan dehidrasi.
10. Pakai topi dan kaca mata hitam
Jika kita masih perlu melakukan aktiviti di luar pada waktu cuaca yang panas, pakailah topi bagi melindungi kepala kita dari kepanasan matahari.
Gunakan cermin mata gelap yang melindungi mata dari sinar UV bagi mengelakkan ianya kekeringan.
Semoga ianya bermanfaat kepada semua. Ayuh amalkan minum air kosong 8 gelas sehari untuk tubuh yang lebih sihat.
Shairy Hanapiah
Suka minum air kosong
Sumber Hadapi Cuaca Panas, Like A Bos
0 Response to "Hadapi Cuaca Panas, Like A Bos"
Post a Comment