“SEBOLEHNYA, saya tidak mahu cerita apa-apa, lupakan kisah sedih di sana,” kata Nurul Farhana Ahmad, 25, wanita yang menghilangkan diri ke Medan, Indonesia sejak dua tahun lalu selepas mengikuti seorang lelaki.
Anak keempat daripada lima beradik dari Parit 7, Sekinchan Selangor itu dibawa pulang ke tanah air selepas keluarganya memohon bantuan daripada Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi.
Nurul Farhana berkata, dia mahu memulakan hidup baharu dengan bekerja termasuk menumpukan perhatian untuk membesarkan anak lelakinya, Askara Alfatih Ali yang kini berusia setahun tiga bulan.
“Sepanjang di sana, saya tinggal bersama ibu saudara kepada suami serta tidak bekerja.
“Baru-baru ini, saya menghubungi ibu di Malaysia dan saya dimaklumkan bapa sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, hari ini.
Ketibaan Nurul Farhana dan anaknya disambut ibu, Normah Yusof, 51, serta adik beradik dan ahli keluarga yang lain.
Pada 14 Oktober lalu, media melaporkan, Normah memohon mana-mana pihak membantu anak perempuan tunggalnya dipercayai berada di Medan, Indonesia pulang ke pangkuan keluarga.
Difahamkan, Nurul Farhana sebelum ini bekerja di kilang serta menghilangkan diri sehingga langsung tidak dapat dihubungi dan tiada khabar berita.
Selain itu, Nurul Farhana juga tidak berpeluang bertemu bapanya, Ahmad Abdullah Sani yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 12 September tahun lalu.
Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa gembira dapat pulang ke tanah air serta bertemu ibu dan keluarganya yang lain.
Mengulas lanjut, Budiman berkata, pada masa ini, pihaknya memberi tempoh bertenang kepada Nurul Farhana dan akan membantu menyelesaikan urusan dokumentasi termasuk anak lelaki wanita itu.
Katanya, sebelum ini, keluarga Nurul Farhana membuka perniagaan menjual mentarang di kampung dan beliau akan melihat bantuan yang boleh disalurkan untuk wanita itu.
Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bagi membantu membawa pulang Nurul Farhana termasuk pelbagai pihak lain iaitu Kedutaan Malaysia di Indonesia serta Kedutaan Indonesia di Malaysia.
“Gerak kerja rundingan ini turut dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Nusasentris Malaysia yang berbincang bersama ketua kampung di Batubara, Medan iaitu tempat tinggal Nurul Farhana,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Sumber Farhana dah pulang, mahu mulakan hidup baru
0 Response to "Farhana dah pulang, mahu mulakan hidup baru"
Post a Comment