Elakkan isu politik dalam ceramah agama

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengingatkan penceramah supaya tidak menyentuh hal politik kepartian dan perkara sensitif yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat ketika menyampaikan ceramah agama di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata, arahan itu terkandung dalam garis panduan berceramah di masjid dan surau yang terkandung dalam Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Katanya, selain itu setiap penceramah perlu mempunyai tauliah atau mendapat kebenaran daripada MUIP, mengajar mengikut Mazhab Syafie, tidak mengeluarkan fatwa, mengajar di tempat ditentukan dan dilarang mengutip derma tanpa kebenaran MUIP.

"Pemohon atau penganjur juga perlu mengisi borang disediakan di Pejabat Agama Islam Daerah dan dirujuk kepada Pegawai Agama Islam Daerah.

Penganjur dan penceramah tidak dibenarkan mengadakan ceramah selagi kebenaran belum dikeluarkan.

"Kita dalam proses mengemas kini garis panduan berkenaan, ia masih berjalan dan akan dikemukakan kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Yang Dipertua MUIP sebelum digazetkan.

"Buat masa ini, penceramah agama perlu mengikuti garis panduan yang kita sediakan. Paling penting mereka tidak membangkitkan isu sensitif sehingga menjejaskan perpaduan dalam kalangan masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Wahid berkata, pegawai masjid atau surau boleh menghalang penceramah sekiranya tidak mendapat kebenaran bertulis daripada MUIP atau pegawai agama daerah.

"Penceramah yang tidak mempunyai tauliah boleh dihukum mengikut Seksyen 161 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 iaitu denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

"Selain itu, penceramah tidak mengikut garis panduan berkenaan juga boleh dihukum mengikut Seksyen 169 enakmen sama yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya," katanya.



Sumber Elakkan isu politik dalam ceramah agama

0 Response to "Elakkan isu politik dalam ceramah agama"

Post a Comment