Mewah, eksklusif dan romantik. Ungkapan paling sesuai menggambarkan hasil pelamin ini. (Gambar: Faizal Mahmud)
Jika kreatif dan tahu apa yang perlu dilakukan, maka hasilnya lebih gempak daripada kedai pelamin yang ada di luar sana. Lihat saja gambar perkahwinan pasangan Suzie dan Sofian yang berlangsung di Hulu Langat, Selangor pada 15 Oktober lalu. Nampak mewah bukan?
Namun tahukah anda kos yang diperlukan untuk menghasilkan pelamin ini sebenarnya tidak sampai puluhan ribu ringgit? Rojak Daily Skop! menyingkap kehebatan individu terbabit di sebalik penghasilan pelamin gah ini.
DEMI RAKAN BAIK
Individu yang bertanggungjawab menguruskan konsep dan susun atur pelamin ini bukanlah calang-calang orang. Faizal Mahmud, 33, adalah seorang pereka grafik di sebuah syarikat media dan juga pengasas bersama Ficusandjars.
Bagaimanapun, Faizal yang turut mewakili rakannya menyatakan dia bukanlah seorang pereka pelamin tetapi disebabkan kepercayaan diberikan pengantin perempuan yang juga sahabatnya, dia cuba melakukan yang terbaik. Menurutnya, konsep Mediterranean itu juga atas permintaan daripada pihak pengantin.
Apa yang menarik berkaitan pelamin ini, hampir 100 peratus barang perhiasan yang digunakan adalah koleksi pengantin itu sendiri. Karpet dan hiasan yang anda lihat itu sebenarnya antara koleksi yang dibeli di India sebelum kedua mempelai ini disatukan.
Tambahnya, pengantin perempuan memang meminati konsep Mediterranean dan Morocco sejak dari kecil. Malah, menjadi impian pengantin perempuan untuk menggunakan semua koleksi barangannya untuk penghasilan pelamin.
Selain itu jika anda lihat dengan teliti gambar di meja santapan pengantin, pinggan yang digunakan adalah daripada jenis seramik yang pernah tular dan menjadi ‘kegilaan’ penduduk sekitar Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.
BUAT KAJIAN DAN RUJUKAN
Seperti biasa, setiap perkara yang anda hasilkan perlulah dirujuk dan dikaji terlebih dahulu. Informasi yang tepat membolehkan elemen yang diterapkan bersesuaian dengan konsep dibawa.
Bagi Faizal, dia juga tidak terlepas daripada membuat rujukan. Jelasnya, ia penting supaya konsep yang diguna tidak lari daripada elemen Mediterranean. Hasilnya ia kelihatan seperti berada di Morocco!
Jejaka ini memberitahu bukan dia saja yang dipertanggungjawabkan untuk menghias dekorasi pelamin terbabit sebaliknya ia turut dibantu tiga lagi sahabatnya iaitu Rashidy Samsudin, Nurin Masduki dan Shukri Ahmad.
Untuk mencipta pelamin idaman ini, mereka mengambil masa empat jam untuk menyiapkan dekorasi sebelum kesemua pihak berpuas hati. Selain itu beberapa sudut dan ruang si majlis perkahwinan itu juga turut mendapat sentuhan kreatif mereka berempat.
JADI BERAPAKAH KOS PELAMIN?
Menurut Faizal, kos pelamin terbabit tidak melebihi RM1,000 kerana barang perhiasan yang digunakan adalah milik pengantin itu sendiri. Baginya, pelamin yang cantik tidak semestinya berharga ribuan ringgit kerana apa yang penting adalah kreativiti pengantin untuk menggunakan apa yang ada.
Nasihat kepada bakal pengantin, mungkin anda boleh mula menyelongkar barang dan koleksi lama anda, mana tahu ia boleh dijadikan elemen untuk mencantikkan pelamin ‘DIY’ anda. Memang betul, 'Do It Yourself'!
Sumber Anda Mungkin Tidak Percaya Kos Sebenar Pelamin Mewah Ini
0 Response to "Anda Mungkin Tidak Percaya Kos Sebenar Pelamin Mewah Ini"
Post a Comment