KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, tujuh kad diskaun yang diperkenalkan kerajaan kepada kumpulan sasar merangkumi pelbagai lapisan masyarakat mampu mengurangkan beban susulan peningkatan kos sara hidup.
“7 kad diskaun yang diperkenal kerajaan mampu kurangkan beban kos sara hidup rakyat” – Najib
Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil berat keluhan rakyat dan pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan seperti mengawal harga barangan keperluan tertentu.
“Untuk mengawal semua barang dalam keadaan ekonomi negara yang semakin kompleks adalah mustahil.
“Justeru, kerajaan memperkenalkan tujuh kad diskaun untuk bermacam kumpulan sasar dari pelbagai lapisan masyarakat supaya beban mereka dapat dikurangkan,” katanya menerusi blog rasmi najibrazak.com, hari ini.
Najib berkata, Kad Friends of KPDNKK disediakan untuk umum, manakala Kad Ceria dikeluarkan khas untuk penduduk di semua Wilayah Persekutuan.
Kad OKU, katanya, memberi pelbagai manfaat dan kemudahan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
“Kad Diskaun Siswa 1Malaysia direka untuk berfungsi sebagai kad debit, ATM dan diskaun untuk penuntut institut pengajian tinggi.
“Anggota keselamatan juga diperuntukkan dengan Kad 1Malaysia Privilege manakala khidmat golongan pesara tidak dilupakan dengan penyediaan Kad Bekas Tentera dan Kad Pesara Kerajaan.
“Semua ini adalah contoh bagaimana bantuan kerajaan kini lebih tersusun berbanding diberi secara pukul rata yang hanya memburukkan jurang perbezaan ekonomi,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kad diskaun terbabit adalah antara inisiatif diperkenalkan sebelum ini untuk terus membantu kehidupan rakyat yang lebih memerlukan.
Info
7 Kad Diskaun
– Kad Friends of KPDNKK
– Kad Ceria
– Kad OKU
– Kad Diskaun Siswa 1Malaysia
– Kad 1Malaysia Privilege
– Kad Bekas Tentera
– Kad Pesara Kerajaan
Sumber: Bharian
Sumber “7 kad diskaun yang diperkenal kerajaan mampu kurangkan beban kos sara hidup rakyat” – Najib
0 Response to "“7 kad diskaun yang diperkenal kerajaan mampu kurangkan beban kos sara hidup rakyat” – Najib"
Post a Comment