Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas empat pertuduhan, iaitu memukul tiga orang jirannya dan menghalang tugas anggota polis. — Paparan skrin GooglePETALING JAYA, 27 Sept — Seorang peniaga makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas empat pertuduhan, iaitu memukul tiga orang jirannya dan menghalang tugas anggota polis minggu lepas.
Norhayati Che Bakar, 48, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Norhayati didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Masitah Hassan, 38; Tajul Hasikin Rosli, 39 dan Abdullah Hassan, 35, dengan memukul bahagian tangan dan dahi mereka di Blok 1, Flat PKNS, Jalan PJS 8/14, di sini, pada 8.30 pagi, 21 Sept lepas.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Wanita itu juga dituduh dengan sengaja menghalang penjawat awam, iaitu dua pegawai polis, ASP Supari Mohammad dan Konstabel Masniza Muslimin daripada menjalankan tugas mereka, pada 5.15 petang di tempat dan tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Suraj Singh merayu jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya teraniaya dan mendakwa kesemua mangsa kerap mengganggu anak-anak tertuduh.
Mahkamah membenarkan Norhayati dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Oktober untuk sebutan semula kes. — Bernama
Sumber Wanita didakwa pukul tiga jiran, halang tugas polis
0 Response to "Wanita didakwa pukul tiga jiran, halang tugas polis"
Post a Comment