BERHUBUNG VIDEO EDIT PROGRAM SO APA CITA MINGGU INI & TUDUHAN MEMPROMOSIKAN BETTER BEER FESTIVAL
Saya ingin memulakan dengan pemberian maaf kepada mereka-mereka yang telah melemparkan cemuhan dan kata-kata nista kepada saya akibat dari penyebaran sebuah video berdurasi hampir 4 minit yang diambil & diolah dari rancangan kendalian saya, So Apa Cita Minggu Ni (SACMI) Episod 6 yang diterbitkan Invoke Malaysia baru-baru ini. Saya mengerti komen-komen yang diberikan itu ialah bedasarkan sumber yang tidak benar dan bukan selipas menilai sendiri perbincangan kami pada malam itu.
Baca:
Update video pengacara dan 3 panel Melayu Islam didakwa sokong festival arak, lelaki ini beri penjelasan dan minta netizen tonton video penuh
Saya mulanya tidaklah berapa berminat untuk memberi komen dan sudah maklum akan kewujudan video tersebut sejak dari hari Sabtu lagi. Lagipun video terbabit tidaklah begitu tular sangat. Namun saya menyedari penjelasan ini diperlukan bagi mengelakkan berterusannya penyebaran gambaran palsu terhadap isi sebenar program SACMI. Saya juga bimbang terutamanya akan tetamu jemputan & penerbit rancangan saya yang turut sekali terpalit sama.
PROGRAM SACMI
SACMI adalah sebuah rancangan bual bicara mingguan yang diterbitkan Invoke Malaysia. Saya diamanahkan untuk mengacarakan disamping menyediakan pengisian perbincangan untuk setiap episod. Secara amnya saya akan memilih topik yang menjadi tajuk utama berita untuk minggu terbabit. Saya juga tidak berkongsi apakah topik yang bakal dibincangkan dengan tetamu jemputan kerana mahukan jawapan jujur dan tidak dibuat-buat.
Dalam episod keenam yang ditayangkan secara lansung pada minggu lepas, saya memilih topik pengajuran Better Beer Festival (BBF), cadangan pertambahan pelaburan KWSP & Khazanah di Amerika Syarikat dan juga isu lompat parti dalam kalangan ahli politik. Masa 60 minit telah dibahagikan untuk membincangkan 3 isu terbabit. Sebab itu saya merasa pelik mengapa individu yang mengolah video ini mengatakan video perbincangan BBF terlalu panjang sedangkan ia hanya mengambil masa kurang 20 minit. Jelas beliau tidak mahu para penonton pergi melihat sendiri sumber asal video terbabit barangkali kerana risaukan yang tembelangnya akan dengan mudahnya pecah.
HOS & TETAMU MENYOKONG PESTA ARAK
Sebagai hos, saya sering disalah ertikan untuk berpegang kepada sesuatu pendapat hanya kerana saya meminta tetamu jemputan untuk memberi komen kepada satu-satu pendapat terbabit. Sebagai contoh, apabila saya mengutarakan kepada salah satu dari tetamu jemputan akan isu kerisauan pembatalan program BBF adalah tanda-tanda ‘creeping islamisation”, bukanlah bermaksud saya berpendapat sedemikian, cumanya ia dilontarkan supaya perbincangan BBF itu lebih merangkumi semua persoalan yang berbangkit.Saya hanya memainkan peranan Devil’s Advocate selaku hos rancangan.
Tetamu-tetamu jemputan turut digambarkan sebagai pendokong pesta arak tanpa had. Video yang tersebar itu telah diolah dengan hanya merangkumi minit dimana para tetamu menyatakan kononnya mereka menyokong penganjuran tanpa diselitkan perbincangan panjang yang mendahului komen terbabit.
Anis Syafiqah sebagai contoh panjang lebar membincangkan akan keperluan kedua-dua pihak iaitu penganjur/peserta BBF dan golongan Muslim yang membantah untuk memainkan peranan dalam mengimbangi sensitiviti masyarakat & kebebasan memilih. Beliau juga mengupas mengenai penggunaan perkataan festival atau pesta dalam bahan promosi BBF yang mempunyai konotasi negatif yang merisaukan golongan Muslim di negara ini. Hanya selepas ini barulah beliau mengeluarkan pendapat peribadi yang sekiranya penganjuran BBF dibuat secara tertutup barulah beliau boleh bersetuju.Bahkan ada penonton live pada malam itu mengkritik Anis kerana terlalu lambat sampai ke konklusi. Sudah tentu pengolah video terbabit lansung tidak memasukkan nuansa-nuansa lain yang dibawakan Anis dalam perbicangan ini.
Saudara Wan Anwar pula diminta untuk memberi respon kepada pendapat yang mengatakan kerana penganjuran BBF tidak melibatkan golongan Muslim, maka mereka tidak berhak untuk menyuarakan pendapat untuk menghalang penganjurannya. Wan Anwar berbicara mengenai isu sensitiviti yang berkait dengan jati diri sesuatu ahli masyarkat kerana ia melibatkan pegangangan agama. Sebab itu lah mana-mana ahli masyarakat wajar memberi pendapat dalam isu penganjuran BBF. Beliau juga membawa penilaian lain yang melibatkan semua pihat walaupun tidak menyertai program terbabit seperti faktor-faktor seperti keselamatan & ketenteraman awam.
YB NIk memberi pandangan akan kerisauan creeping islamization yang dibangkitkan saya. Beliau memulakan yang ahli masyarakat perlu berhati-hati dalam memberi pandangan kerana penganjuaran BBF ialah sesuatu isu yang sensitif. Arak dalam pandangan Muslim dianggap sesuatu perkara kejahatan sehinggakan penanam anggur yang terlibat turut dipertanggungjawabkan. Namun begitu, YB Nik turut mengulas keperluan mencari keseimbangan antara sensitivti agama & kebebasan rakyat kebanyakkan. YB Nik memberi contoh akan cadangan mewajibkan penggunaan IC dalam pendaftaran kepada peserta bagi megelakkan keterlibatan Muslim disamping mengehadkan aktiviti promosi dan dilakukan secara tertutup.
Pokoknya, tetamu jemputan walaupun ada yang bersetuju tapi hanya selepas menepati syarat-syarat ketat yang dicadangkan. Maka adalah satu kebatilan menuduh mereka menyokong penganjuran BBF tanpa had jauh sekali turut mempromosikan program terbabit. Saya berpendapat kekeliruan ini buleh dielak dengan menonton keseluruhan perbincangan yang diadakan pada malam itu.
AKHIR KATA
Yang paling saya kesalkan ialah video yang telah diolah terbabit telah mendapat tontonan lebih dari sumber asal. Menunjukkan betapa rakyat Malaysia lebih gemar mencari kesensasian daripada kebenaran sesuatu berita.
Janganlah cepat menghukum lebih-lebih lagi dari informasi yang bersumberkan video olahan dari akaun FB rawak. Semoga ini menjadi pengajaran supaya kita lebih berhati-hati dalam menilai kesasihan sesuatu berita. Moga-moga kita tidak menjadi rantai-rantai yang menyebarkan fitnah & kepalsuan.
Akhir kata, saya mahu mengajak pembaca untuk menonton sendiri program So Apa Cita Minggu Ni. Kami keudara setiap Khamis jam 8.30 di FB page Invoke Malaysia & Rafizi Ramli. Lihat sendiri bagaimana saya mengendalikan perbincangan dengan itulah anda berlaku adil kepada saya dan terutamanya diri sendiri. Jangan biarkan kita menjadi lalang ditiup angin-angin jahat yang cuba menimbulkan kegusaran.
Saya lampirkan video asal program So Apa Cita Minggu Ni episod 6 untuk anda tonton sendiri sebelum menilai.
Midi Rahim
Sumber Update video pengacara dan 3 panel Melayu Islam didakwa sokong festival arak, lelaki ini beri penjelasan dan minta netizen tonton video penuh
0 Response to "Update video pengacara dan 3 panel Melayu Islam didakwa sokong festival arak, lelaki ini beri penjelasan dan minta netizen tonton video penuh"
Post a Comment