ALOR SETAR: Penggunaan kosmetik murah yang semakin berleluasa terutamanya yang dijual secara dalam talian, berisiko mengundang bahaya lebih-lebih jika digunakan secara berpanjangan.
Trend penggunaan kosmetik murah yang dijual secara online membimbangkan
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan negeri, Datuk Dr Leong Yong Kong, berkata ini disebabkan produk yang dibawa masuk dari negara jiran itu biasanya menggunakan bahan kimia berlebihan dan berbahaya, termasuk berisiko untuk mengundang barah.
Selain Thailand, beliau berkata, kebanyakan produk kosmetik terbabit turut dibawa masuk secara tidak sah dari China dan Vietnam, sebelum dibungkus semula menggunakan pelbagai jenama.
“Barang kosmetik terbabit dijual dengan harga murah secara dalam talian dan ia menarik minat pembeli terutama apabila hasil yang diinginkan diperoleh dalam tempoh singkat.
“Apa yang membimbangkan, kebanyakan produk kosmetik yang diseludup itu biasanya tidak mempunyai notifikasi, malah diakui mempunyai bahan kimia berlebihan yang boleh menghakis kulit wajah pengguna,” katanya ketika ditemui, di sini.
Dr Leong berkata, kebanyakan kosmetik murah disyaki produk tiruan yang dikesan mengandungi paraben selain hidrokuinon, merkuri dan tretinon yang mengundang bahaya terhadap pemakai.
Beliau berkata, paraben bertindak menggalakkan perubahan hormon yang boleh mengakibatkan masalah hormon terganggu dan ia biasa digunakan dalam syampu, pencuci muka, pencuci bahagian intim, krim kecantikan dan buih mandian.
“Penggunaan berterusan melebihi tempoh enam bulan boleh mengakibatkan penyakit tiroid, kanser payu dara, pangkal rahim dan ovari serta turut memberi kesan kepada penyakit kulit.
“Malah, penggunaan dalam tempoh terlalu lama sehingga bertahun-tahun, dibimbangi merosakkan organ dalaman pengguna,” katanya.
Mengambil kira risiko itu, beliau menasihatkan pengguna supaya berhati-hati terhadap produk kosmetik yang terdapat dalam pasaran, baik di laman sosial atau yang dijual secara terbuka di kios atau pasar malam.
Beliau berkata, pengguna yang mengalami masalah seperti gatal kulit, kemerah-merahan, terasa seperti kulit terbakar selepas menggunakan produk kosmetik dinasihat mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran atau hospital.
“Apa pun kita nasihatkan pengguna seelok-eloknya berhenti serta-merta daripada menggunakan produk berkenaan jika merasakan tidak sesuai bagi mengelakkan masalah yang lebih serius,” katanya.
Sumber: Bharian
Sumber Trend penggunaan kosmetik murah yang dijual secara online membimbangkan
0 Response to "Trend penggunaan kosmetik murah yang dijual secara online membimbangkan"
Post a Comment