Rakyat Selangor kini menikmati pengangkutan bas percuma lebih baik menerusi perkhidmatan Bas Smart Selangor. (Gambar: shahalam.concordehotelsresorts.com)
Sebaliknya, negara yang maju adalah tempat di mana rakyat yang kaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam”.
Sistem pengangkutan awam yang berkualiti dan mudah digunakan sememangnya merupakan sesuatu yang penting bagi kehidupan moden di bandar, lebih-lebih lagi dengan kesesakan jalanraya yang mengalami peningkatan setiap tahun.
Menyedari keperluan tersebut, kerajaan Selangor mula memperkenalkan pekhidmatan bas yang bukan sahaja percuma tetapi selesa untuk digunakan.
MUDAH, JIMAT, SELESA DAN SELAMAT
Perkhidmatan bas percuma ini mula diperkenalkan pada bulan Julai 2015 dan kini dikenali dengan nama ‘Bas Smart Selangor’. Perkhidmatan ini melalui kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan awam di seluruh negeri Selangor seperti sekolah, hospital serta kawasan perumahan kos rendah.
Waktu operasi bas ini adalah dari jam 6 pagi sehingga 10 malam dengan kekerapan perjalanan selama 15 minit untuk sampai ke setiap hentian.
Perkhidmatan secara percuma ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan tetapi juga untuk menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Selain itu, perkhidmatan yang selesa dan menjimatkan ini juga diharap akan dapat membantu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang boleh menyebabkan kesesakan lalulintas dan pencemaran alam sekitar.
Setiap buah bas mampu memuatkan sehingga 60 orang penumpang pada sesuatu masa dan turut dilengkapi kelengkapan penghawa dingin, perkhidmatan internet tanpa wayar (Wifi) percuma dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan.
KEISTIMEWAAN TINGGAL DI SELANGOR
Menurut laporan Media Selangor, seramai 10,734,359 penumpang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor ini semenjak ianya mula diperkenalkan pada 1 Julai 2015 sehingga pada 31 Ogos lalu.
Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim, angka tersebut melayakkan perkhidmatan Bas Smart Selangor untuk berada dalam kategori ‘cemerlang’.
“Dengan sambutan sangat menggalakkan, Kerajaan Negeri amat yakin untuk terus memberikan sokongan dan bantuan terhadap usahasama dengan PBT dalam memperbanyakkan laluan serta menambah bas baru.
“Usaha ini bagi memastikan perkhidmatan Bas Smart Selangor lebih menyeluruh serta mempunyai jaringan dengan sistem pengangkutan awam lain,” katanya pada Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor ke-100 di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
Sebanyak 30 laluan perkhidmatan berkenaan turut dihubungkan dengan pelbagai jaringan pengangkutan awam lain seperti komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Bas Rapid Transit (BRT) dan Express Rail Link (ERL).
“Dengan adanya kesalinghubungan di antara Bas Smart Selangor dan pengangkutan awam lain seperti komuter, ERL, MRT, LRT dan BRT akan menjadikan sistem pengangkutan awam lebih baik, teratur dan menyeluruh. Ia pastinya memudahkan lagi perjalanan pengguna pengangkutan awam di Selangor,” katanya.
MERCU TANDA BARU PENGANGKUTAN AWAM NEGARA
Majlis pelancaran tersebut menjadikan Selangor sebagai negeri yang menyediakan perkhidmatan bas percuma terbanyak di negara ini, sekali gus membolehkannya mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
“Perkhidmatan bas percuma ini diperluaskan ke seluruh negeri sehingga mencecah 100 bas sebab Kerajaan Negeri faham dan tahu beban belanja harian rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang mutakhir ini.
“Rakyat boleh kurang beban belanja pengangkutan dengan Bas Smart Selangor,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi akaun Facebook miliknya.
Tambah Chang Khim, sebanyak RM42.5 juta dibelanjakan bagi menyediakan perkhidmatan tersebut dan daripada angka tersebut, sebanyak RM33.5 juta merupakan peruntukan yang disediakan Kerajaan Negeri manakala baki RM9 juta pula ditanggung Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kos yang dibelanjakan adalah merangkumi kos sewaan termasuk pengurusan dan penyelenggaraan yang dipertanggungjawab sepenuhnya kepada syarikat bas dilantik.
“Kos lain termasuk ‘wrapping cost’ dan enam peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya.
Chang Khim juga menerangkan dari segi reka bentuk, kelainan bas ke-100 ini memberikan perspektif luar biasa terhadap pencapaian Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
“Istimewanya bas ke-100 di MPSJ adalah kerana Subang Jaya sudahpun mempunyai jaringan pengangkutan awam lengkap iaitu kemudahan komuter berhampiran Subang Parade dan Empire, perkhidmatan BRT Sunway, stesen LRT dan MRT.
“Terbaru, mereka juga dilengkapi perkhidmatan ‘Bike Sharing’ yang kini dalam tempoh percubaan untuk dilaksanakan sepenuhnya pada masa akan datang,” katanya.
KISAH PENGANGKUTAN PERCUMA LUAR NEGARA
Selangor bukan negeri pertama menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma. Beberapa kawasan bandar di Eropah pernah memperkenalkannya terlebih dahulu tetapi pada skala lebih kecil.
Bandar Hasselt di Belgium misalnya menawarkan perkhidmatan bas secara percuma pada tahun 1997 tetapi menghadapi masalah kewangan tidak lama kemudian. Lantaran itu mereka kembali mengenakan bayaran bermula dari tahun 2013.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan terhadap golongan warga emas, kanak-kanak dan penduduk dengan keistimewaan tertentu.
Bandar Chengdu di China pula menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma tetapi bersyarat. Tiada bayaran dikenakan terhadap warga emas, laluan bas tertentu dan di antara waktu 5 pagi sehingga 7 pagi.
Bagi Bandar Tallinn, Estonia yang terkenal sebagai tempat bermulanya aplikasi Skype dan pilihan raya secara atas talian, mereka telah memperkenalkan sistem pengangkutan percuma bermula dari Januari 2013.
Penduduk cuma perlu berdaftar sebagai penduduk bandar tersebut melalui sebuah kad khas dan boleh menikmati kesemua perkhidmatan bas, trem, bas troli dan keretapi yang terdapat di Tallinn. Bagaimanapun, perlu diingatkan jumlah penduduk di bandar tersebut adalah kurang daripada 500,000 orang manakala kebanyakkan perjalanan hanya mengambil masa tidak lebih daripada 15 minit.
Secara perbandingan, lebih 10 juta pengguna menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor dalam tempoh dua tahun melibatkan 12 PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).
Sumber Tahukah Anda Rakyat Selangor Lebih Beruntung Dari Belgium, China Dan Estonia?
0 Response to "Tahukah Anda Rakyat Selangor Lebih Beruntung Dari Belgium, China Dan Estonia?"
Post a Comment