Adira salahkan kekurangan diri sendiri. (Pic: Alexander Hadreez Jr.)
Hilang fokus, lupa lirik dan ibarat melepaskan batuk di tangga tatkala membuat persembahan pada konsert mingguan AF Megastar malam Ahad lalu mengakibatkan penyanyi Adira menerima hukuman apabila menjadi peserta pertama yang disingkirkan daripada program realiti berkenaan.
Tidak berseorangan apabila Azhar turut menerima nasib yang sama apabila juri sepakat memilih keduanya untuk disingkirkan berdasarkan prestasi persembahan mereka yang disifatkan sebagai kurang memberangsangkan. Keputusan paling mengejutkan sudah semestinya penyingkiran Adira kerana dia antara penyanyi wanita yang memiliki vokal hebat.
Bagaimanapun, ketika menyanyikan lagu Ikut Rentakku nyanyian Jaclyn Victor yang menjadi lagu tugasan untuk konsert mingguan AF Megastar yang pertama ini, pemilik nama Siti Adira Suhaimi ini bagai hilang punca. Nyanyiannya tidak selancar sebelum ini. Malah dia kelihatan seperti tidak bersedia dan mengharapkan agar persembahannya itu dapat diselesaikan dengan kadar segera.
Justeru tidak hairanlah selepas undian ditutup, wanita berusia 25 tahun ini hanya mampu mengutip markah keseluruhan sebanyak 29.3 peratus sekali gus meranapkan impiannya untuk meneruskan pemburuan menjulang trofi juara AF Megastar.
Berdasarkan pemerhatian, apa sebenarnya yang menganggu pemikiran bekas naib juara AF8 ini sehingga menjejaskan tumpuannya. Apakah dia mempunyai masalah peribadi yang tidak mampu ditahan membuatkan dia hilang fokus dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal?
Saat diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, Adira menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya. Katanya, masalah peribadi tidak sepatutnya menjadi satu halangan terutama kepada golongan penyanyi.
“Tidaklah! Bukan kerana masalah peribadi. Kalau mahu menyanyi alasan itu tidak boleh dipakai. Apa yang berlaku sebenarnya salah saya sendiri. Saya akui agak struggle ketika menyanyikan lagu itu terutama dalam bab menghafal lirik. Ada beberapa buah lagu yang saya berikan tetapi lagu itulah yang dipilih.
“Lagipun lagu itu sendiri pada saya agak susah. Sebelum lagu itu menjadi lebih teruk, saya memutuskan menyanyikan lagu itu secara santai sahaja. Orang boleh cakap apa sahaja. Saya anggap ini bukan rezeki saya,” katanya kepada Rojak Daily Kaw! sebaik sahaja konsert yang berlangsung di Auditorium Teater Shah Alam berakhir.
Ditanya apakah ketiadaan suami tersayang iaitu Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali Datuk Red memberi sokongan membuatkan Adira seperti hilang motivasi, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Aku Ada Kamu ini turut menepis dakwaan berkenaan.
“Bukan tak nak ajak dia tapi memang sejak dulu lagi, saya sudah biasa begini. Dari dulu pun memang begini,” ujarnya ringkas.
Mengenai perancangannya selepas ini, Adira berkata dia akan kembali aktif dan bakal merakamkan single terbaru tidak lama lagi.
“Buat masa ini pihak label sedang mengumpul lagu yang sesuai. Disebabkan saya banyak merakamkan lagu balada, kali ini mereka mahu lagu yang rancak dan catchy,” katanya.
Sumber “Saya Terkeluar Bukan Kerana Masalah Peribadi” – Adira
0 Response to "“Saya Terkeluar Bukan Kerana Masalah Peribadi” – Adira"
Post a Comment