"Saya Rasa Lebih Dihormati" - Nadiya Nisaa

Semenjak nekad tampil berhijab kira-kira setahun lalu, Nadiya Nisaa, 32, memberitahu dia bersyukur dan semakin selesa dengan penampilannya kini malahan merasakan dirinya lebih dihormati.

Bintang filem Redha ini berkata, dia masih menerima banyak tawaran lakonannya cuma sejak kebelakangan ini dia kerap ditawarkan watak ibu dan wanita lemah lembut.

"Alhamdulillah, sejak bertudung saya rasa lebih dihormati oleh banyak pihak. Misalnya kalau bergandingan dengan pelakon lelaki dan sekiranya ada babak seperti babak bersentuhan, mereka akan bertanya duhulu kepada saya sama ada saya selesa atau tidak untuk melakukan babak tersebut.

"Kalau produksi pula, mereka akan sentiasa peka mengenai waktu penggambaran dan akan memberikan masa rehat untuk saya bersolat dan sebagainya.

"Tidak dinafi saya kini banyak ditawarkan watak ibu dan wanita lemah lembut, mungkin kerana kesesuaian imej dan status saya.

"Saya tidak kisah untuk membawakan watak ibu kerana saya anggap ia transisi sebagai pelakon dan kita pun semakin lama semakin matang," kata ibu anak satu ini ketika ditemui pada majlis sidang media Festival Filem Malaysia (FFM29) bertempat di hotel Park Royal, pada Rabu.

Sementara itu berkongsi mengenai harapannya untuk pencalonan filem lakonannya iaitu filem Redha dan Interchange, Nadia berkata dia tidak terlalu meletakkan harapan untuk meraih anugerah. Sebaliknya, setiap tahun dia menantikan acara itu bagi meraikan barisan teman pelakon serta filem-filem tempatan.

Katanya, walaupun kedua-dua filem itu tidak mendapat kutipan pecah panggung namun sebagai pelakon dia berbangga kerana sudah memberikan yang terbaik sekaligus berpeluang menunjukkan sisi lain dalam setiap kerja seninya.

"Saya tidak fikir pun nak menang lagipun untuk filem kali ini watak saya hanya sebagai pelakon pembantu. Sebaliknya setiap tahun saya anggap FFM sebagai acara untuk meraikan karya-karya dan teman-teman dalam industri perfileman tanah air.

"Meskipun kutipan kedua-dua filem tersebut tidak mencapai kutipan pecah panggung namun saya bangga kerana sudah berikan yang terbaik," katanya yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (FFM27) menerusi filem Terbaik Dari Langit.

Berkongsi pula mengenai perkembangan terkini, Nadiya baru saja selesai menjalani penggambaran sitkom pendidikan Oh My English! musim terbaru.

Selain itu, dai bakal muncul menerusi drama bersiri adaptasi daripada sebuah novel terlaris.

"Saya akan mula menjalani penggambaran sebuah drama, yang memang dinanti-nanti ramai. Tetapi buat masa ini saya tidak boleh memberitahu apakah tajuk drama tersebut kerana ia akan menajadi satu kejutan untuk peminat," tuturnya sambil tersenyum.



Sumber "Saya Rasa Lebih Dihormati" - Nadiya Nisaa

0 Response to ""Saya Rasa Lebih Dihormati" - Nadiya Nisaa"

Post a Comment