BATU PAHAT, JOHOR - Seorang remaja ditahan polis selepas didapati membuang bayi yang baru saja dilahirkan di rumah jirannya pada tengah malam semalam, lapor Berita Harian.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, remaja berusia 19 tahun itu pergi ke rumah jirannya di seberang jalan rumah keluarganya lalu melahirkan bayi itu di beranda rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, ketika kejadian itu, pemilik rumah yang juga merupakan pasangan warga tua tidak berada di rumah kerana bermalam di rumah anak mereka di Parit Sulong.
Bagaimanapun, apabila pasangan itu pulang ke rumah mereka kira-kira jam 7 pagi tadi, mereka menemui seorang bayi perempuan di tepi beranda rumah dan terdapat kesan tumpahan darah di lantai.
"Pasangan itu kemudian memaklumkan kepada polis sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
"Siasatan di sekitar lokasi kejadian membawa kepada penemuan uri dan tali pusat yang dibuang di tepi rumah suspek dan suspek kemudian mengaku telah melahirkan dan membuang bayinya di rumah pasangan warga emas itu.
Difahamkan, bayi berkenaan adalah hasil hubungan sulit suspek bersama teman lelakinya.
Suspek dan bayinya telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk rawatan dan disahkan berada dalam keadaan sihat.
Abdul Wahib berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat untuk membuang bayi berkenaan. Jika disabit kesalahan, suspek berdepan dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sumber Remaja 19 tahun lahirkan bayi dan buang di rumah jiran
0 Response to "Remaja 19 tahun lahirkan bayi dan buang di rumah jiran"
Post a Comment