Atlet negara Muhammad Haiqal Azani Azman beraksi menentang pasukan Thailand pada pusingan akhir acara goalball lelaki Sukan Para Asean ke-9 di MiTEC hari ini. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 23 Sept — Skuad goalball lelaki negara melakar sejarah menamatkan dominasi 12 tahun skuad Thailand di Sukan Para Asean (APG) KL2017 dengan menyumbang pingat emas ke-90 yang juga pingat emas terakhir kontinjen negara hari ini.
Pasukan negara yang dibarisi Husnaini Samsudin selaku kapten, Muhammad Amirul Ahmad, Muhammad Hasmawi Abdullah, Muhammad Haiqal Azani Azman dan Muhammad Nor Amin Mohd Nor Azmi menewaskan musuh tradisi itu 9-5 dalam perlawanan akhir di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini.
Bagi jurulatih negara, Abdul Karim Raham kemenangan hari ini sangat berbaloi selepas pelbagai cabaran dilalui dalam mempersiapkan pasukan negara bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.
“Saya memanjatkan kesyukuran kerana kita telah berjaya mengalahkan musuh tradisi yang lebih 12 tahun, saya rasa sangat berbangga. Ini kemenangan yang sangat-sangat kita harapkan dan misi kita untuk memburu emas telah berjaya. Atlet-atlet saya telah kotakan janji mereka.
“Banyak cabaran yang saya hadapi bermula daripada mengumpulkan atlet dan aktiviti latihan yang berlangsung sepanjang hampir empat bulan. Macam-macam masalah sebab ada sebahagian yang bekerja dan ada atlet yang datang dari jauh selain keperluan untuk atlet cacat penglihatan,” katanya.
Pada edisi 2005, 2007, 2011, 2014 dan 2015, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas kepada musuh tradisi itu.
Menurut Abdul Karim, seorang guru di Sekolah Menengan Pendidikan Khas Setapak, kejayaan hari ini sebenarnya tidak dijangka namun semangat dan komitmen para pemain yang memberi seratus peratus berjaya menterjemahkan kejayaan pingat emas, sekaligus memecah ego skuad Gajah Putih.
Sementara itu, ketua pasukan Husnaini Samsudin berkata banyak pengorbanan terpaksa ditempuhi setiap pemain serta pegawai termasuk beliau sendiri yang terpaksa bercuti menjadi tukang urut selama lima bulan bagi memberi komitmen kepada persiapan skuad negara.
“Saya sendiri banyak menghabiskan masa dengan latihan, selain meninggalkan kerja sebagai tukang urut untuk lima bulan bagi memberi fokus mencapai emas ini,” katanya.
Katanya, kejayaan menewaskan Thailand dalam aksi final itu adalah atas kerjasama yang tinggi dalam kalangan pemain utama serta pemain simpanan yang sentiasa bersedia jika diminta beraksi. — Bernama
Sumber Pecah dominasi 12 tahun Thailand, skuad goalball raih emas terakhir
0 Response to "Pecah dominasi 12 tahun Thailand, skuad goalball raih emas terakhir"
Post a Comment