Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara, Datuk R Subramaniam belum mahu mengangkat bendera putih walaupun kontinjen diketuainya hanya mengutip 72 emas, kurang 31 emas daripada sasaran tatkala temasya berbaki dua hari sebelum melabuhkan tirainya.
Sebaliknya, beliau berharap empat sukan iaitu catur, renang, badminton dan olahraga menjadi penyelamat dengan mengutip seberapa banyak emas yang boleh bagi memastikan sasaran itu mampu direalisasikan.
Berbaki 97 emas lagi untuk dikutip bermula 78 emas hari ini dan 19 emas pada hari terakhir esok, kontinjen negara dilihat berdepan situasi sukar untuk mencapai sasaran itu, apatah lagi daripada keseluruhan emas yang ditawarkan itu ada acara yang menyaksikan Malaysia tidak layak ke final.
Malah, peluang Malaysia untuk bergelar juara Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) buat kali kedua sejak edisi 2001 tampak semakin sukar dengan Indonesia terus menjarakkan diri menghimpun 91 emas selepas lima hari pertandingan berlangsung.
Kontinjen negara ketika ini kekal di kedudukan kedua dengan 72 emas di depan juara bertahan Thailand dan Vietnam yang masing-masing sekadar mengutip 44 dan 33 emas - hampir separuh ditinggalkan Malaysia.
"Masih ada (peluang untuk mencapai sasaran 103 emas) tetapi cabarannya agak sukar sebab Indonesia tampil dengan prestasi luar jangkaan," kata Subramaniam.
"Tanpa dijangka mereka banyak memenangi acara dalam renang dan olahraga, tetapi ia bukan bermakna kita kehilangan emas itu kepada mereka.
"Cuma daripada perhatian kami mungkin Indonesia banyak merampas emas yang pada awalnya disasarkan menjadi milik Thailand. Apapun peluang untuk muncul juara memang begitu sukar kerana pecutan Indonesia semakin laju."
Pada saingan hari kelima semalam, Malaysia meraih 18 emas menerusi olahraga (enam), basikal (enam), tenpin boling (dua), tenis (dua), renang (satu) dan angkat berat (satu).
Bagaimanapun, peluang masih ada buat Malaysia dengan hari ini olahraga menawarkan 26 pingat emas, badminton (14), catur (12), renang (10) dan boccia (7). - Oleh Naqib Nor Said
Sumber Para KL2017: Sukar kejar Indonesia - Subramaniam
0 Response to "Para KL2017: Sukar kejar Indonesia - Subramaniam"
Post a Comment