Ikut pelobi, tidak ikut amalan dunia — SM Mohamed Idris

27 SEPTEMBER — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa kecewa dengan keputusan Kementerian Kesihatan untuk tidak mengasingkan tugas memberi dan mempreskripsi ubat. 

Kementerian Kesihatan ternyata telah tunduk kepada tekanan lobi perubatan yang berpengaruh dengan mengelak daripada membentuk satu sistem yang mengasingkan tugas-tugas mempreskripsi dan memberi ubat.

Mengasingkan tugas mempreskripsi dan memberi ubat sudah lumrah di negara maju. Adalah sesuatu yang ironik bahawa negara yang beraspirasi untuk mencapai status pendapatan tinggi menjelang 2020 mengambil langkah ke belakang dalam amalan penjagaan kesihatan.

Adalah sama sekali tidak wajar untuk mengatakan langkah tersebut diambil demi memenuhi keperluan pesakit, khususnya mereka yang tinggal di luar bandar. 

Negara-negara seperti India dan Indonesia dengan jumlah penduduk luar bandar yang besar sudah lama mengamalkan pemberian dan preskripsi ubat secara berasingan tanpa sebarang masalah.

Sudah menjadi norma sejagat bahawa doktor memeriksa dan mempreskripsi ubat sementara ahli farmasi mengaudit dan memberikan ubat.

Untuk membuat keputusan dasar dan menggubalnya dalam cara yang bercanggah dengan amalan sejagat amat membingungkan dan tidak adil. Atas alasan apakah Kementerian Kesihatan mengetepikan profesi bagi peranan pentingnya?

Apa yang sepatutnya dititikberatkan oleh Kementerian Kesihatan sebagai badan yang mengawal selia kesihatan awam adalah keselamatan ubatan – yang telah dikenal pasti oleh pertubuhan kesihatan terkemuka seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pusat Keselamatan Makanan dan Ubatan Amerika, dan pihak Keselamatan Kesihatan Kebangsaan UK sebagai keutamaan dalam menangani cabaran keselamatan pesakit.

Laporan Institut Perubatan Amerika pada 2007 menunjukkan kesilapan dalam pemberian ubat sering berpunca daripada proses preskripsi ubatan.

Sekurang-kurangnya separuh daripada kesilapan mempreskripsi ubat dikesan dan diperbetulkan apabila ahli farmasi meneliti semula isu keselamatan dan kesesuaian pemberian ubat tersebut.

Mempunyai doktor sama yang mempreskripsi dan memberikan ubat di Malaysia menghapuskan jaring keselamatan itu.

Piawaian amalan secara umum di Malaysia masih belum setaraf dengan tanda aras antarabangsa. Kita masih mempunyai doktor yang tidak melabel ubat mereka dan cuma memberikan kepada pesakit sampul plastik yang mengandungi beberapa butir ubat di dalamnya.

Sudah  menjadi  amalan biasa juga bagi  kakitangan yang mengendalikan ubat terdiri daripada mereka yang tidak terlatih. Justeru tidak ada pemeriksaan bagi memastikan keselamatan dan kesesuaian preskripsi dan sebarang potensi masalah yang ada kaitan dengan ubat yang diberikan.

Hal ini sepatutnya menjadi perhatian dan tumpuan utama Kementerian Kesihatan.

Sehubungan itu CAP menggesa Peguam Negara menolak rang undang-undang ini kerana ia bercanggah dengan prinsip asas keselamatan ubatan.

* SM Mohamed Idris adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail Online



Sumber Ikut pelobi, tidak ikut amalan dunia — SM Mohamed Idris

Related Posts :

0 Response to "Ikut pelobi, tidak ikut amalan dunia — SM Mohamed Idris"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect