Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya berkata, bagi daerah Klang, kawasan terlibat meliputi Pengkalan Tok Muda; Batu 4 Jalan Kapar; Bund Sementa; Pelabuhan Klang; Jalan Pandamaran Banting dan Taman Selat Damai.

Bagi daerah Sabak Bernam pula katanya, kawasan dijangka terjejas meliputi Tebuk Mendeling, Sungai Ayer Tawar dan Sungai Panjang, manakala bagi daerah Kuala Selangor kawasan terlibat ialah Tanjung Karang, Kampung Kuantan, Pantai Remis dan Pekan Sungai Buloh.

“Bagi daerah Sepang pula membabitkan kawasan Pesisir Pantai Bagan Lalang dan di Kuala Langat ialah Pantai Kelanang serta Pesisir Pantai Tanjung Sepat.

“Fenomena ini akan berlaku pada 20 hingga 22 September, 6 hingga 9 Oktober, 4 hingga 7 November dan 4 hingga 5 Disember. Paras tertinggi air laut berdasarkan jadual air pasang surut laut yang dijangka dicatat sepanjang fenemona adalah 5.5 meter pada 5 November dan terendah adalah 0.4 meter (4 Disember) ini.

“Kawasan berisiko ini juga berpotensi untuk mengalami banjir sekiranya berlaku hujan yang lebat dan angin kencang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya telah mengarahkan 15 buah balai di daerah yang terlibat bersiap siaga bagi menghadapi fenomena air pasang besar tersebut.

“Persediaan termasuklah menjadualkan semula tugasan anggota, persiapan bot dan jentera serta rondaan berkala di kawasan yang telah dikenalpasti,” katanya.

 

Sumber: UTUSAN ONLINE