POPULARITI Sufian Suhaimi sejak bergelar penyanyi memang tak dapat disangkal.
Apatah lagi selepas ramai tahu, Sufian sekarang sedang menjalin cinta dengan pelakon yang terkenal dengan alis keningnya yang hitam lebat, Elfira Loy.
Setelah berteka-teki dengan hubungan itu, Sufian yang sebelum ini mengejutkan peminat dengan kontroversi bertandang ke rumah Elfira atas tujuan merisik kini dihimpit pula dengan cerita lain.
Betul. Ramai yang mendoakan yang baik-baik buat Sufian dan Elfira namun dalam seronok dan teruja menanti perkhabaran fasa menggembirakan yang lain, timbul isu Sufian mengabaikan dan tidak menamatkan pengajian peringkat Sarjana Komunikasi Massa yang diambil di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Apa yang tidak menarik didengar, semua itu kononnya berpunca daripada sikapnya yang sibuk, kemaruk dengan cinta Elfira sehingga pengajiannya terabai.
Sempat bertanyakan perkara ini kepada empunya badan, ini penjelasan daripada pelantun lagu Terakhir dan Terasa Ada ini.
Apa ni Sufian, dengar cerita awak kemaruk sangat bercinta sehingga ‘mengorbankan’ pengajian peringkat Sarjana, betul ke?
Tak adalah. Kenapa pula salahkan cinta dalam hal ini? Saya tak rasa benda tu ada kena-mengena pun.
Habis tu, macam mana sebenarnya?
Saya akui memang banyak tangguh pengajian, memang tak dapat fokus sangat pun. Tetapi bukan sebab bercinta sebagaimana yang orang ramai fikir, ia lebih kepada faktor kerjaya seni. Jadual saya sangat padat dengan kerja-kerja seni terutama muzik. Tak cuma itu, benda ini juga perlu menjayakan komitmen menghadiri banyak acara berbentuk kesenian dan sebab itulah saya tak dapat fokus dengan kelas di universiti. Kalau nak kata saya sibuk bercinta memang salahlah sebab bukannya saya ni hari-hari dengan Elfira.
Tak rasa sayang ke tangguh dan tak habiskan pengajian? Kalau tak silap, sepatutnya Sufian sudah habiskan semester terakhir, bukan?
Tak adalah, semua dah diuruskan. Tinggal tesis sahaja yang perlu selesai. Saya akan berada dalam semester terakhir pada bulan ini. Malah, sudah pun saya mulakan sekarang. Tentulah saya akan teruskan pengajian tu, memang sayanglah kalau tak teruskan tetapi belajar peringkat ini bukan mudah. Saya cuma terikat dengan komitmen kerjaya, tiada sebab lain. Kalau ikutkan, bukan saya seorang sahaja yang ‘merangkak’ nak habiskan pengajian sarjana ni.
Maksudnya?
Dalam kelas saya ada 15 pelajar semuanya. Namun yang mampu menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan cuma tiga orang sahaja. 11 pelajar lain termasuk saya, sama, tak mampu habiskan pengajian pada masa yang ditetapkan. Mungkin masing-masing ada alasan sendiri dan mungkin orang cuma nampak saya kerana orang kenal saya sebagai penyanyi dan selebriti.
Terasa hati tak bila orang kaitkan isu ini dengan Elfira?
Mereka yang bercakap tu sebab mereka tak tahu hal sebenar. Walhal, Elfira tak ada kaitan pun dalam hal ini.
Bila orang selalu nak cari kesalahan dalam tempoh dekat nak bertunang ni, tak terfikirkah bahawa ia sebahagian daripada dugaan orang nak bertunang?
Bukanlah! Ini ujian mana-mana orang yang nak menyatu dan mendirikan rumah tangga. Malah, masa fasa merisik tempoh hari pun dah dapat rasakan ujiannya. Senang cerita, banyaklah ‘syaitan-syaitan’ yang mengganggu. Syaitan sekarang pun ada media sosial tau! Tapi sesekali saya fikir, tiada seorang pun daripada kita yang maksum dengan sebarang kritikan atau kutukan. Macam anak seni, biasalah, ada orang akan sokong dan akan ada juga yang mengutuk. Saya positif, tidak ada penyebab untuk bersedih atau putus asa.
Macam ramai yang dengki sahaja hubungan kalian ni, betul tak?
Nak kata tertekan tu tak adalah, tapi nak buat macam mana saya kena hadapi juga perkara seperti ini atas tiket seorang selebriti. Apa yang saya nak tekankan, perkahwinan bukan titik pengakhiran karier sebab saya percaya pada rezeki. Yang penting adalah konsisten dalam menghasilkan karya. Bab lain saya tak mahu fikirkan sangat.
Sumber: Utusan
Sumber “Banyaklah ‘syaitan-syaitan’ yang mengganggu. Syaitan sekarang pun ada media sosial tau!” – Sufian Suhaimi
0 Response to "“Banyaklah ‘syaitan-syaitan’ yang mengganggu. Syaitan sekarang pun ada media sosial tau!” – Sufian Suhaimi"
Post a Comment