“Sebab tu pakai tag, kerana ada keliru ni mengandung ke buncit..”

Benarkah rakyat Malaysia semakin mementingkan diri sendiri kerana tidak memberikan tempat duduk kepada wanita hamil  di dalam pengangkutan awam?

Bukan semua, hanya segelintir yang tiada nilai sivik. Tetapi ada juga yang dilema apabila memberikan tempat duduk kepada wanita yang tidak mengandung atau lebih malang wanita tersebut masih bujang hanya kerana saiz perut mereka kelihatan lebih besar seperti sedang hamil, akhirnya yang menawarkan dan ditawarkan akan tersipu-sipu malu.

Tular kisah seorang suami yang saban hari mendengar rintihan isteri yang terpaksa berdiri dalam LRT sepanjang perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja dari stesen Gombak ke KLCC.

Iqbal Rifasha Ahamad Faudzi, 33, berkata, isterinya mengalami komplikasi kehamilan sejak anak pertama yang membuatkannya cepat penat, dan sekarang mengandung untuk anak ketiga.

Menurut Iqbal, isterinya mula mengadu semasa hamil dua bulan pada Februari lalu kerana tidak tahan berdiri lama di dalam LRT.

“Isteri saya lantang bersuara, ada juga dia berani minta diberikan tempat duduk, tapi kadang-kadang orang macam susah nak bagi sebab saiz perut dia tak ketara sangat.

“Sampai ke satu tahap dia asyik kena minta. Tapi kalau hampir setiap hari, dia dah jadi malas pula. Dia bukan saja penat sebab berdiri lama semasa mengandung, tapi juga ‘penat’ dengan segelintir penumpang yang tak reti bahasa,” katanya.

 

Iqbal yang merupakan pensyarah ini berkata, berdasarkan hasil maklumat yang diperolehinya di Internet, tercetus idea untuk menghasilkan ‘tag wanita mengandung’ bagi memudahkan orang ramai mengetahui isterinya hamil dan memerlukan bantuan untuk diberikan tempat duduk.

“Lepas isteri pakai ‘tag’ dalam LRT, orang dah mula berikan tempat duduk. Baguslah, sekarang isteri dah tak bebel lagi,” katanya secara berseloroh.

Isteri Iqbal, Wan Nur Syahifa Wan Sudin, 29, pula berkata, ‘eksperimen’ menerusi inisiatif suaminya berhasil sejak hari pertama lagi dia memakai ‘tag’ berkenaan.

“Sebenarnya, bukan orang tak nak kasi. Tapi mungkin mereka keliru sebab saiz perut tak begitu ketara. Ini mengandung ke lemak,” katanya.

Malah kata Wan Nur Syahifa atau Efa, dia sendiri pernah berhadapan dengan situasi di mana diberikan tempat duduk sedangkan tidak mengandung.

“Saya juga pernah tawarkan tempat duduk kepada penumpang yang tak mengandung. Jadi, nak mengelakkan diri sendiri daripada malu, saya pakai taglah,” katanya.

Mengulas lanjut, Iqbal berkata, tindakan isterinya memakai ‘tag wanita mengandung’ mendapat perhatian dan sokongan rakan-rakan mereka termasuk orang awam.

Katanya, setakat ini kira-kira 1,000 ‘tag’ dicetak dan dilaminakan dengan plastik, diberikan secara percuma kepada rakan-rakan mereka terutama yang hamil.

“Alhamdulillah, percubaan saya buat ‘tag wanita mengandung’ untuk isteri memberi kesan positif. Tak nafikan ada juga yang masih buat-buat tak tahu bila nampak isteri pakai ‘tag’ berkenaan.

“Tapi ada penumpang lain tegur mereka yang duduk supaya memberikan tempat duduk kepada isteri saya. Jadi, ‘tag’ ini sesuai untuk semua, memudahkan wanita hamil dan memupuk kesedaran orang awam ‘secara halus’ supaya mereka lebih prihatin,” katanya sambil menambah turut berkongsi ‘tag wanita mengandung’ di laman penyimpanan fail di pautan ini.
Sumber: Mstar



Sumber “Sebab tu pakai tag, kerana ada keliru ni mengandung ke buncit..”

0 Response to "“Sebab tu pakai tag, kerana ada keliru ni mengandung ke buncit..”"

Post a Comment