RHB Bank dan AmBank bakal bergabung

Spekulasi RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd akan mengumumkan cadangan penggabungan dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan peserta pasaran kewangan hari ini.

Ia susulan langkah penggantungan urus niaga saham kedua-dua syarikat kewangan itu di Bursa Malaysia semalam dan peserta pasaran kini sedang menunggu pengumuman rasmi daripada pihak terbabit.

Sumber berkata, RHB Bank iaitu syarikat perbankan keempat terbesar Malaysia dari segi aset dan AMMB Holdings sudah menyerahkan permohonan untuk kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memulakan rundingan secara formal.

Jika penggabungan itu menjadi kenyataan, ia akan mengukuhkan kedudukan RHB Bank dari segi aset, memandangkan AMMB Holdings turut berada di kedudukan keenam daripada lapan bank domestik di Malaysia.

Berdasarkan saiz aset setakat 2016, nilai aset kedua-dua syarikat apabila digabungkan berjumlah RM365.9 bilion, keempat terbesar selepas Maybank, CIMB Group Holdings Bhd dan Public Bank Bhd.

Nilai pasaran kedua-dua syarikat perbankan ketika saham ditutup pada Rabu, RHB Bank memiliki RM21.6 bilion, manakala AMMB Holdings (RM15.7 bilion).

Berikutan spekulasi itu, harga saham kedua-dua entiti menokok sejak awal tahun dengan saham RHB Bank melonjak 15 peratus, manakala AMMB Holdings (22 peratus) setakat ini.

Untuk rekod, pada Januari 2015 RHB Bank membatalkan rancangan penggabungan dengan CIMB Bank dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) susulan keadaan ekonomi kurang memberangsangkan.

 

Sumber: BH Online



Sumber RHB Bank dan AmBank bakal bergabung

0 Response to "RHB Bank dan AmBank bakal bergabung"

Post a Comment