Kenapa Kita Kekurangan Pakar Wanita?

Puan Leha bermasalah batu karang. Dia baru saja pulang dari klinik pakar, seperti yang dirujukkan oleh doktor keluarganya.

Dengarnya batu karang itu menyumbat ureter (saluran yang mengalirkan air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing) menyebabkan ureter serta buah pinggangnya bengkak. Mujur fungsi buah pinggangnya masih bertahan. Jika dibiarkan lama lagi, mungkin rosak terus buah pinggangnya. Dia memerlukan prosedur untuk membuang batu karang dan memasang stent pada ureter tersebut.

Pulang dari klinik dia merungut-rungut. Doktor yang menjalankan pembedahan beliau nanti ialah doktor lelaki. Prosedur itu memerlukan pesakit dibius lalu teropong besi akan dimasukkan pada salur kencing melalui bahagian kemaluan. Pada Puan Leha ianya amat memalukan dan dia tak boleh menerima doktor lelaki yang melakukannya.

Memang sedikit sekali doktor perempuan melibatkan diri dalam bidang Urologi atau kerap dipanggil bidang Sakit Tuan. Boleh dibilang dengan jari jumlahnya. Padahal masalah salur kencing dan batu karang bukan hanya terhad kepada pesakit lelaki. Sama ramai jumlah lelaki perempuan yang memerlukan khidmat kepakaran ini.

Ketakpuasan hati Puan Leha berlarutan. Sana-sini dicuba tanya klinik pakar urologi di semua hospital termasuk yang di swasta. Semuanya pakar lelaki. Jika ada pakar perempuan pun terlalu lama tempoh menunggu temu janjinya.

“Mana pergi semua doktor perempuan ni? Kenapa tak ada yang nak jadi doktor urologi?”; bebel Puan Leha.

Staf hospital cuma saling berpandangan dan angkat kening. Sebab beberapa tahun dulu, apabila Puan Leha nak bersalin, sibuk dia dan suaminya mencari pakar bersalin perempuan di hospital kerajaan. Sampai suaminya mengamuk di bilik bersalin menuntut hanya doktor perempuan saja dibenarkan memeriksa dan merawat isterinya.

Tak cukup mengamuk di hospital, dia memprotes pula kenapa tak diwajibkan semua doktor perempuan menjadi pakar sakit puan dan pakar bersalin saja. Dituduhnya lagi semua doktor perempuan yang tak mahu jadi pakar bersalin sebagai doktor yang mementingkan diri sendiri.

Padahal dia sendiri tak benarkan isterinya bekerja. Anak-anaknya juga tak seorang pun jadi doktor atau staf perubatan, malah semua anak perempuannya disuruh menjadi sama ada ustazah atau suri rumah mengasuh anak saja. Pada pandangannya, tempat wanita hanyalah di rumah. Dan ibu-ibu yang meninggalkan anak pada pengasuh untuk keluar bekerja ialah ibu yang mementingkan diri sendiri.

Dan sekarang dah terbalik pula. Apabila perlukan rawatan di bidang lain, tetap doktor perempuan juga yang dicarinya.

Inilah masyarakat yang suka menuntut tetapi tak pernah nak menyumbang.

Wahai kaum wanita, kita semua bukan hanya kerja bersalin saja. Ada banyak bidang lain yang kita perlukan khidmat kepakaran. Nak buat pembedahan sama ada di punggung, paha atau payudara; perlukan doktor wanita. Nak rawatan masalah kencing atau kepala, perlukan doktor wanita juga. Kalau nak dikira, semua pun aurat juga. Betul tak?

Jadi usahlah membuat tuntutan berlebihan. Kalau semua nak doktor perempuan, doktor lelaki yang bijak lagi cekap tu nak dicampak ke mana?

Bidang perubatan amatlah luas kemudahan yang agama benarkan. Usah pula kita terlebih warak dan faqih dari para alim ulama.

Biarlah kaum wanita sendiri memilih pekerjaan apa yang mereka suka. Semuanya ada pahala fardhu kifayahnya tersendiri. Daripada peniaga, guru, setiausaha, pemandu bas; tetap ada faedahnya kepada masyarakat. Nabi pun tak pernah suruh mana-mana sahabiah di zamannya berhenti kerja, atau melakukan pekerjaan yang spesifik saja. Jika para wanita nak jadi suri rumah pun, tiada siapa boleh memaksa mereka bekerja.

Bertolak ansurlah. Itu yang sebaiknya.

Hana Hadzrami
Seronok bila dapat pemandu Uber wanita!



Sumber Kenapa Kita Kekurangan Pakar Wanita?

0 Response to "Kenapa Kita Kekurangan Pakar Wanita?"

Post a Comment