Kajian: Hanya bangsa cina, bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja tak pentingkan jiran sebangsa tetapi Melayu dan India lebih suka jiran sebangsa

Sebuah kaji selidik bertujuan membantu kerajaan dalam mencapai Transformasi Nasional (TN50) baru-baru ini mendedahkan beberapa sikap rakyat Malaysia berkait dengan masyarakat pelbagai kaum, termasuk pilihan kawasan kejiranan mereka.

rakyat_kaum_tn50_malaysia_600

Ia mendapati hampir 20% berkata mereka lebih suka hidup di kalangan kaum mereka sendiri, manakala 72.6% tidak setuju dengan kawasan kejiranan yang hanya satu kaum.

Menariknya, kebanyakan daripada mereka yang lebih suka tinggal di kalangan kaum mereka sendiri adalah responden Melayu dan India.

“Berdasarkan hasil kajian, hanya bangsa Cina, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak sahaja yang dilihat memberikan persepsi yang sangat positif dalam tidak mementingkan jiran mereka adalah sebangsa mereka sendiri manakala bangsa Melayu (25.6%) dan India (19.5%) masih lagi dilihat mementingkan bangsa mereka sendiri untuk berjiran dengan mereka,” menurut laporan hasil Kajian Persepsi Rakyat Dalam Membantu Usaha Kerajaan Bagi Merangka TN50.

Kaji selidik itu dilakukan sepanjang 9 hari pada bulan Mac lepas, melibatkan 1,025 rakyat berumur 18 tahun ke atas, dan mewakili komposisi kaum bagi mencerminkan penduduk Malaysia. Sepertiga daripada mereka ialah wanita, manakala 80% berkahwin.

Ia bertujuan membantu kerajaan dalam merangka dasar hala tuju baru di bawah TN50, pelan 30 tahun membangunkan negara yang ditetapkan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Perayaan agama lain

Kaji selidik itu juga merungkai beberapa sikap dan tabiat rakyat Malaysia berkenaan kaum lain.

Antaranya, 72.7% berkata mereka turut serta dalam sambutan perayaan keagamaan selain agama mereka sendiri.

Manakala 95% berkata mereka menggalakkan anak dan anggota keluarga mereka untuk berkenalan dengan kaum lain.

Majoriti daripada responden iaitu kira-kira 80% menganggap Bahasa Melayu dapat menyatu padukan rakyat berbilang kaum.

Bagaimanapun, hasil kajian mendapati mereka mempunyai pandangan berbeza mengenai aliran sekolah bahasa ibunda. Sejumlah 41.4% menyokong sekolah aliran Cina dan India diselaraskan, manakalan 47.4% tidak bersetuju.

Kebanyakan rakyat Malaysia (82.4%) juga mahu biasiswa diberikan kepada pelajar tanpa mengambil kira faktor kaum atau agama.

 

Sumber: FMT



Sumber Kajian: Hanya bangsa cina, bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja tak pentingkan jiran sebangsa tetapi Melayu dan India lebih suka jiran sebangsa

0 Response to "Kajian: Hanya bangsa cina, bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja tak pentingkan jiran sebangsa tetapi Melayu dan India lebih suka jiran sebangsa"

Post a Comment