“Ya, memang betul saya mengaku ada pergi ke kelab malam di Langkawi. Dengan memakai serban seperti mana yang diperkatakan oleh kolum itu di Pancaindera, ia memang saya,” jawabnya.

Bagaimanapun Iqram meminta supaya masyarakat tidak terus melabelkan dirinya dengan tanggapan buruk hanya kerana hal itu.

Dia juga berharap masyarakat sekeliling tidak membuat andaian negatif dan tersalah anggap dengan dirinya kerana memilih kekal dengan imej sebegitu di tempat hiburan.

“Ini kerana, sepanjang saya berada di tempat itu, saya tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang,” akui pelakon berusia 35 tahun ini.

Menurut Iqram lagi, dia hanya ingin berjumpa dengan rakan-rakan dan dalam pada masa yang sama, gemar mendengar lagu dan muzik yang dimainkan di pusat hiburan berkenaan.

“Bukan datang untuk berseronok sangat pun. Saya hanya ingin melihat suasana dan salahkah saya nak rapatkan hubungan dengan sesama manusia?

“Selagi perkara itu tak melanggar akidah saya sendiri, ia tidak menjadi satu kesalahan besar pun. Saya sebenarnya pelik, kenapa ada pihak nak pertikaikan saya pergi kelab malam? Ramai lagi orang yang kita pergi ke sana untuk minum minuman keras tetapi tak ada yang ambil perhatian pun. Sebaliknya cerita saya pakai serban pula yang dijaja sampai ke Kuala Lumpur,” kata Iqram, melepaskan kesalnya.

Badan kurus

MELIHAT keadaan fizikal Iqram Dinzly yang semakin kurus berbanding sebelum ini membuatkan ada yang ingin tahu kenapa pelakon itu kelihatan sebegitu. Menafikan mengambil sebarang benda terlarang sehingga badannya semakin susut, Iqram menjelaskan tubuhnya kurus mendadak disebabkan terlalu sibuk bekerja. Biarpun tidak ada masa untuk menguruskan diri, namun Iqram masih menjaga penampilan.

“Bayangkan, selepas solat subuh saya terus bekerja. Tidak ada masa untuk berehat atau goyang kaki. Banyak perkara yang perlu saya uruskan dalam satu hari. Memandangkan kedai makan baru saja beroperasi.

“Segala urusan kedai, memang saya seorang sahaja. Mungkin disebabkan itu, badan semakin kurus. Saya tahu ramai yang membuat andaian mengatakan saya ada ambil barang terlarang, nampak macam sakit, macam-macam.

“Jujur saya cakap, keadaan saya masih sihat dan tidak ada penyakit apa-apa. Biarpun begini, saya masih menjaga penampilan yang kemas. Namun, tidaklah seperti dahulu dimana saya boleh ke pusat kecantikan lelaki untuk lebih kemas,” kata Iqram yang sentiasa mahukan kesempurnaan dalam dirinya.

Fokus kedai makan

SIAPA sangka, percutian pada hujung tahun lalu di pulau peranginan di negeri Kedah telah mencuri hati Iqram Dinzly untuk terus menetap di sana. Keputusan itu dibuat selepas dia pulang dari pulau itu dan berasa jiwanya seakan tidak berada Kuala Lumpur lagi.

Lebih seronok tinggal di Langkawi kerana kos sara hidup yang tidak tinggi, dia juga boleh menjalani kehidupan yang bebas di sana. Berbeza dengan kehidupannya ketika di Kuala Lumpur di mana kadang-kala satu hari perbelanjaan harian melebihi RM100 sehari, di sini lebih mampu berjimat.

Iqram kini sibuk menguruskan perniagaan kedai makan yang diberi nama Al-Kasehnya Dr CHiQQy terletak di One Stop Centre Telaga Walk, Cenang, Langkawi.

“Alhamdulillah, saya berjaya membuka kedai makan dengan usaha sendiri. Sebenarnya ibu saudara yang bagi peluang untuk saya beraksi di sini. Dia beritahu ada kedai kosong untuk dijual di kawasan Telaga Walk dan mencadangkan untuk buka kedai makan.

“Biarpun saya datang Langkawi dengan tidak berbekalkan pengalaman dan pengetahuan tentang perniagaan, tapi saya ambil juga peluang itu. Saya banyak belajar tentang selok-belok perniagaan daripada keluarga, ” kata Iqram yang seronok melayan pelanggan yang datang ke kedainya.

Antara menu yang disediakan adalah nasi goreng ayam janda berhias, nasi butter gadis sunti, cekodok panas dan chapati roller adik manis.

Berbalik kepada perkembangan dunia seni, Iqram akui ada masanya dia rindu untuk berlakon memandangkan bidang itu masih di hatinya. Namun, buat masa sekarang dia hanya mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan kedai makan sahaja.

Jangan kecam kerana serban

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pilihan dirinya, Iqram memberitahu tujuan dia memakai serban bukan kerana ingin dilihat sebagai seorang yang kuat agama. Jauh sekali dia ingin dilihat lebih alim berbanding orang lain. Justeru, biarpun menerima kecam ramai ketika ini, Iqram tetap akan mengekalkan imej sebegitu.

“Saya ada membuat kajian tentang serban. Dekat pulau ini waktu siang panas dan bila malam pula sejuk. Jadi, bila pakai saya rasa lebih selesa untuk bekerja dan beri saya semangat lain macam.

“Selain itu, lebih mudah untuk saya menutup rambut dengan kemas tanpa mengambil masa yang lama untuk bersiap. Semoga dengan saya akan jadi manusia yang lebih baik,” jelasnya.