Kebanyakan mereka kecundang di dalam rumah tangga, ditinggal suami dan putus kasih dengan orang tersayang kerana pelbagai sebab yang mendorong mereka mengambil keputusan hidup sendiri. Menjadi lumrah hidup, tidak semua yang dikehendaki oleh setiap manusia akan diperoleh kerana segala yang berlaku adalah atas kehendak Allah.

Seperti juga dalam rumah tangga, tidak seorang wanita pun yang mahu diceraikan tanpa sebab tetapi suratan takdir tidak dapat dielak. Inilah kisah pilihan minggu ini, kisah benar yang dialami oleh Syifa (bukan nama sebenar) yang diceraikan suaminya, tiga hari setelah bergelar isteri.

Ini cerita Syifa.

“Saya seorang pegawai di sebuah bank, berkelulusan universiti dan berusia 32 tahun. Selepas tamat belajar dan mendapat kerja, saya ditunangkan dengan seorang lelaki atas kehendak keluarga.

“Saya akur dengan kehendak ibu bapa saya, sebab saya tahu, mereka tentu akan mencari calon suami yang terbaik untuk saya, sebab saya tidak mempunyai teman lelaki.

“Tunang saya seorang pegawai kerajaan, juga lulusan universiti, anak sulung dalam adik beradik seramai empat orang. Ibu dan ayahnya, rakan lama ibu bapa saya. Saya dimaklumkan dia telah melihat gambar saya sebelum kami ditunangkan dan tidak membantah permintaan ayah dan ibunya.

“Pada hari pertunangan, kami diperkenalkan dan itulah kali pertama saya melihat dia. Orangnya kacak, tinggi dan saya rasa dia menjadi idaman ramai wanita. Dia juga nampak baik, peramah dan sentiasa tersenyum melihat saya. Jauh dalam hati saya berkata, memang dia jodoh terbaik Allah hantarkan untuk saya.

“Kami bertunang tidak lama, hanya tiga bulan. Dalam tempoh itu, kami tidak berjumpa, semua urusan dibuat oleh ibu bapa kami. Sampaikan barang hantaran juga mereka yang uruskan atas permintaan saya. Genap tiga bulan, kami disatukan. Majlis sangat meriah, maklumlah, kedua-duanya anak sulung, tentunya majlis meriah dengan kehadiran kawan-kawan dan sahabat andai serta keluarga jauh dan dekat.

“Saat kami diijabkabulkan, air mata saya menitis. Saya sangat terharu dan sebak setelah dia dengan sekali lafaz sah menjadi suami saya. Inilah saat yang sangat ditunggu-tunggu oleh seorang wanita. Masa untuk mengabdikan diri kepada suami dengan penuh rasa tanggungjawab dan dengan harapan, bahagia yang dibina akan kekal sampai ke akhir hayat.

“Bagaimanapun, bahagia yang saya harapkan tidak nampak cahayanya apabila suami terus menghilangkan diri selepas tiga hari kami bergelar suami isteri. Dia tinggalkan saya tanpa pesan, tanpa sepatah kata. Saya terkapai-kapai tidak tahu apa salah saya sampai dia sanggup buat saya macam itu.

“Saya langsung tidak disentuh. Pada mulanya saya faham mungkin dia penat, lagipun selepas majlis, kami tinggal di rumah ibu bapa saya. Malangnya pada hari ketiga semasa saya sedang berkemas di dapur dengan mak dan adik-adik, dia keluar rumah tanpa memberitau saya.

“Sedar-sedar dia sudah tidak ada di dalam bilik. Sebelah petangnya, mentua saya datang. Kecoh dia bercerita. Saya hanya mendiamkan diri. Mak dan bapa saya yang melayan mentua bercerita. Saya melihat mak saya menangis. Kemudian adik-adik.

“Saya masih tidak tahu sebabnya sehinggalah bapa memanggil saya ke ruang tamu dan menyuruh saya duduk. Saya duduk di hadapan pelamin yang belum dibuka. Dengar apa yang mentua kamu hendak beritahu, kata bapa.

“Ketika bapa berkata-kata, saya merasa dunia berpusing ligat dan suasana gelap gelita. Saya tidak nampak apa-apa lagi di hadapan saya. Setelah sedar, saya tidak melihat kelibat mentua saya lagi, yang ada mak, bapa dan adik-adik saya yang kesemuanya menangis.

“Saya juga menangis. Tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan saya ketika itu. Yang saya dengar, saya telah diceraikan oleh suami. Maknya sendiri yang bagi tahu saya di hadapan ibu bapa dan keluarga saya.

“Bapa sangat marah tapi me­ngawal kemarahannya itu. Sepupu dan bapa saudara saya mula datang ke rumah. Kalau kelmarin mereka datang dengan wajah gembira, tetapi kali ini semua nampaknya sangat marah. Bapa saudara dan sepupu saya pergi ke rumah suami untuk mendengar sendiri dari mulut dia yang telah menceraikan saya.

“Nak tahu apa dia kata, kita jumpa di mahkamah! Saya sudah ceraikan dia. Betapa biadapnya dia kepada keluarga saya. Nampak sahaja belajar tinggi tetapi kurang ajar. Itulah yang keluarga saya kata. Mereka sangat marah.

“Akan tetapi tidak ada gunanya lagi. Sebab saya telah diceraikan. Yang saya tidak faham, bekas suami membawa pula kes itu ke mahkamah dan menuntut saya membayar ganti rugi. Dia yang ceraikan saya, dia pula yang minta ganti rugi. Sepatutnya saya yang buat saman malu. Ini terbalik pula.

“Enam tahun kes itu berlarutan. Penat saya naik turun mahkamah dengan mak dan bapa saya. Buang masa, membazir duit dengan perkara yang tidak kami tahu sebabnya. Ibu dan bapanya langsung tidak menasihatkan anaknya, sebaliknya menyokong tindakan anaknya menyaman saya dan keluarga.

“Saya tanggung malu dengan keluarga, jiran, saudara mara dan kawan-kawan kerana dia. Saya minta tukar kerja di tempat lain kerana tidak mahu diganggu. Semuanya saya yang tanggung. Sudahnya saya yang disaman.

“Saya terima ini semua dengan reda. Alhamdulillah kes ini telah selesai dua bulan lalu. Saya terpaksa bayar RM10,000 kepada bekas suami di atas kesalahan yang saya tidak tahu apa. Saya pelik kenapa mahkamah begitu ambil mudah kes penganiayaan ke atas isteri seperti saya. Patutnya siasat sampai ke akar umbi, apa puncanya. Bukan main dengar sebelah pihak sahaja.

“Saya bersyukur kerana semuanya telah selesai. Walaupun saya telah menerima hukuman dunia yang diputuskan manusia, saya yakin hukuman di akhirat untuk dia yang menganiaya saya tetap ada. Allah tahu siapa benar dan siapa salah. Saya mendoakan supaya satu hari nanti dia dan keluarganya akan sedar kesilapan mereka dan bertaubat.

“Saya pula akan teruskan hidup saya. Pintu hati saya sudah tertutup rapat untuk lelaki. Saya serik. Bukan tidak percaya jodoh, tetapi pengalaman ini sangat sakit dan saya tidak pasti bila kesakitan itu akan hilang. Semoga Allah bagi saya kekuatan dan semangat untuk terus muhasabah diri dan menjadi wanita solehah di dunia dan akhirat,”demikian Syifa menutup ceritanya.

Sedihkan cerita Syifa? Semoga Allah makbulkan doa Syifa. Apa pun saya kagum dengan semangat dan kesabaran Syifa menangani masalah ini. Tidak siapa tahu apa yang dia rasa.

Kisah ini baik dijadikan teladan oleh kaum lelaki, khasnya mereka yang mendapat jodoh yang diatur oleh ibu bapa. Niat ibu bapa baik tetapi anak-anak juga perlu fikirkan yang terbaik untuk mereka. Jangan kerana hendak menjaga hati ibu bapa, terima sahaja pilihan mereka. Ambil masa untuk mengenali bakal isteri, jangan terus terima. Jangan buat aniaya anak dara orang.

Menamatkan catatan, pesanan saya, sekiranya tidak dapat menggembirakan hati orang, cukuplah hanya tersenyum, bukan membuatkan orang itu terus berduka.

Salam.