“Saya tidak tahu apa tujuan dan niat mereka menggodam akaun rasmi kelab peminat saya. Memang terkilan, tetapi saya anggap ia sebagai dugaan manis kerana percaya, apa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri,” kata pelakon Nur Fazura Sharifuddin.
“Apa niat mereka?” – Fazura terkilan akaun rasmi kelab peminat digodam
Pelakon berusia 33 tahun yang popular menerusi filem Gol & Gincu dan Pisau Cukur itu juga enggan menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, meskipun kecewa kerana laman sosial itu menjadi medium untuk peminat mengikuti perkembangan kerjaya seninya.
Akaun Instagram rasmi kelab peminat Fazura, fazbulouswarriors digodam sejak tiga hari lalu menyebabkan kehilangan 16,000 pengikut, selain 1,871 posting yang mengandungi foto, hebahan dan informasi terkini aktiviti seni pelakon popular itu.
“Saya reda sebaik saja dimaklumkan oleh pengurusan kelab peminat mengenai perkara itu. Saya kasihankan kepada peminat kerana laman sosial itu menjadi medium untuk mereka mengetahui perkembangan terkini saya.
“Apatah lagi, sejak kebelakangan ini banyak gambar dan rakaman video di balik tabir pembikinan drama Hero Seorang Cinderella dimuatkan di situ. Pastinya mereka kecewa kerana semua itu hilang begitu saja,” katanya.
Meskipun ralat, Fazura berkata pengurusan kelab peminatnya bertindak pantas dengan membuka akaun baharu untuk memastikan perkembangan aktiviti seninya diketahui penggemar.
“Mereka pada mulanya begitu sedih, tetapi saya nasihatkan supaya reda dan membuka akaun baharu. Mujur pihak yang menguruskan akaun terbabit masih lagi menyimpan gambar dan video yang hilang itu.
“Jadi, ia boleh dimuat naik semula ke dalam akaun yang baharu,” katanya yang baru saja pulang dari Pulau Perhentian selepas 10 hari berada di sana untuk penggambaran drama rantaian arahan Michael Ang itu.
Sumber: Bharian
Sumber “Apa niat mereka?” – Fazura terkilan akaun rasmi kelab peminat digodam
0 Response to "“Apa niat mereka?” – Fazura terkilan akaun rasmi kelab peminat digodam"
Post a Comment