Syarikat proses sarang burung bagai ‘neraka dunia’

Sebuah syarikat pemprosesan dan pemasaran sarang burung walit di bandar ini beroperasi bagai ‘neraka’.

Syarikat proses sarang burung bagai ‘neraka dunia’

Operasi khas yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Pasukan Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dengan kerjasama Atipsom Bukit Aman, Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Jabatan Imigresen Putrajaya dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah membongkar aktiviti terbabit.

Dalam serbuan bermula kira-kira jam 11 pagi itu, seramai 172 pekerja rata-ratanya warga Indonesia berusia 18 hingga 40 tahun sedang bekerja di premis berkenaan termasuk berada di asrama berdekatan.

Seorang pekerja yang mahu dikenali sebagai Tyas berkata, dia dimaklumkan tentang kerja kosong di premis terbabit melalui kenalannya di Indonesia.

“Dia beritahu saya akan dapat gaji RM900 gaji pokok. Kalau saya bekerja lebih masa dua jam sehari, saya akan diberikan tambahan gaji sebanyak RM338.

“Selepas sampai sini, ia bertukar sebaliknya dan kerja-kerja yang saya lakukan terpaksa dibuat dengan tempoh masa yang lebih panjang dari kebiasaan,” katanya.

Ketua Pasukan Khas MAPO, Deputi Superintendan Hadzwan Zulkifli berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan pihaknya selama tiga minggu mengenai kegiatan menyalahi peraturan ditetapkan berkaitan kebajikan pekerja di premis lima tingkat yang telah beroperasi sejak tahun 2014 itu.

“Berdasarkan siasatan awal, kesalahan itu antaranya disyaki memaksa pekerjanya bekerja lebih masa sehingga 16 jam sehari dan membuat potongan upah atau gaji tanpa kebenaran sekiranya melakukan kesalahan seperti sarang burung rosak dan menggunakan penghawa dingin di asrama mereka.

“Pekerja yang ditemui itu membabitkan 152 wanita Indonesia, tiga wanita Myanmar dan 17 warga tempatan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Menurut Hadzwan, pemilik premis bergelar Datuk berusia 29 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Atipsom 2007, Seksyen 39B Akta Imigresen 1957 dan Akta Pekerja.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali yang ditemui berkata, kita telah kenal pasti pemilik premis serta mangsa terbabit berusia 18 hingga 40-an dan siasatan sedang dijalankan untuk tindakan selanjutnya.

“Kita lihat ada unsur-unsur eksploitasi dalam siasatan ini termasuklah gaji tidak dibayar dan lain-lain. Ini adalah satu tindakan bertentangan dengan undang-undang.

“Selain itu, premis ini akan disemak dan disiasat untuk mengenal pasti statusnya dalam menjalankan perusahaan terbabit, ” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian



Sumber Syarikat proses sarang burung bagai ‘neraka dunia’

Related Posts :

0 Response to "Syarikat proses sarang burung bagai ‘neraka dunia’"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect