“APA lagi yang saya tak lalui? Disihir sudah, disantau pun sudah dan perut juga sudah pernah busung. Tak mengapa, sehingga hari ini saya masih lagi kuat menghadapinya dan saya percaya Allah ada bersama,” demikian kata pelakon Emma Akma Yunus saat ditanya tentang kehidupan peribadinya kini.
Hidupnya hampir musnah dek kerana hasad dengki. Namun itu tidak pernah membuatkan dia menyesal dengan apa yang berlaku dan sudah berlarutan hampir dua dekad yang lalu.
Mengakui yang dirinya kini semakin pulih dan semakin kuat menghadapi dugaan yang diberikan, Emma yakin segala perkara buruk yang berlaku mempunyai hikmah dan apa yang perlu menghadapinya dengan tenang.
“Saya tak tahu apa lagi yang mereka mahukan daripada saya. Perkara ini bukan lagi benda baharu dan semuanya sudah saya hadapi. Macam-macam penderitaan yang sudah dilalui termasuklah muka membengkak, keluar macam-macam benda dari badan dan habis ratusan ribu ringgit.
“Rasanya kalau tengok kisah-kisah lama yang pernah dikeluarkan sebelum ini, semuanya sudah tahu. Tak mengapa, saya semakin kuat menghadapinya,” tambahnya.
Beberapa minggu lalu, Emma memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan beberapa benda asing yang berjaya dikeluarkan daripada badannya setelah berjumpa dengan seorang pengamal perubatan di Jengka 17, Pahang.
Semuanya berpunca apabila dia menderita sakit badan yang teruk sehingga tidak mampu untuk bergerak beberapa minggu yang lalu. Kebetulan rakannya datang ke rumah dan terus membawanya ke sana bagi menjalani perubatan alternatif.
“Waktu sampai di sana, Tok Ayah (panggilan kepada pengamal tersebut) mencadangkan saya melakukan bekam. Katanya badan saya teruk ‘dihentam’ dengan macam-macam benda. Tambahnya mujur saya kuat dan tak tumbang dengan benda jahat.
“Bila menjalani rawatan bekam, macam-macam yang keluar termasuklah serpihan batu nisan, kapas orang mati, abu mayat, gumpalan rambut, jarum dan benang empat warna.
“Saya tanya juga mengapa abu mayat. Jawab Tok Ayah benda tersebut digunakan untuk melumpuhkan sistem saraf dan akhirnya boleh membuatkan saya ‘jalan’. Benang tu pula keluar dari kepala. Patutlah selama ini saya sakit kepala! Pergi jumpa doktor dikatakan migrain,” cerita Emma lagi.
Mengakui keberaniannya memuat naik perkara berkenaan di Facebook bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang lain, dia menegaskan tidak berniat untuk terus mencabar pihak yang ‘menghantar’ ilmu hitam kepadanya.
Tambahnya, ada beberapa rakan baik yang mahu dia tidak terus bercerita tentang rawatan yang diterima namun dia hanya mahu memberikan solusi kepada orang yang senasib dengannya ditimpa musibah yang sama.
“Bukan tujuan saya nak mencabar ‘mereka’ menghantar ilmu hitam lagi. Saya cuba nak orang di luar sana tahu ada alternatif jika mereka berhadapan dengan perkara yang sama. Jangan sesekali mengalah dan teruskan mencari ikhtiar.
“Apa-apa sekalipun kena ke hospital dahulu. Jangan sesekali menolak perubatan moden. Kemudian barulah cari jalan lain. Ini yang saya amalkan sejak dahulu,” tegasnya.
Kekuatan
MENGAKUI anak-anak adalah sumber kekuatan utama, ibu tunggal kepada dua anak ini mengakui yang mereka tabah menghadapi ujian bersama dengannya. Apa sahaja perkara buruk telah dilalui dan pastinya masing-masing saling bergantungan antara satu sama lain.
“Saya selalu minta maaf pada mereka. Seandainya saya tak mampu bertahan dengan ilmu hitam yang dideritai nanti, mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Saya sendiri tak tahu sampai bila umur ini. Kalau ditakdirkan saya pergi dahulu, mereka kena jaga diri.
“Anak yang sulung sudah besar dan dia boleh teruskan hidup sendiri. Anak kedua pula masih bersekolah dan saya beritahunya supaya kembali kepada ayahnya (bekas suami) seandainya saya sudah tiada,” kata Emma sebak.
Bercerita mengenai anak-anak, Emma mengakui yang kedua-dua mereka sudah puas menyaksikan penderitaan yang dilalui selama ini. Namun pastinya dia berterima kasih kerana mereka menjaganya setiap kali dia berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka.
Pada tahun 2014, hampir setahun Emma berhadapan dengan penyakit busung yang membuatkan perutnya membesar. Segala makan dan minum dijaga oleh kedua-dua anaknya itu yang setia menemaninya.
“Merekalah yang mengusung saya ke tandas hampir setahun termasuk memandikan saya. Anak bongsu pula ketika itu baru berusia 10 tahun dan terpaksa memasak!
“Tak dapat digambarkan macam mana keadaan kalau mereka tiada. Hanya Tuhan sahaja yang tahu segala penderitaan yang saya hadapi selama ini,” tambahnya lagi.
Ditanya tentang keadaan semasa, Emma mengakui dia semakin sihat dan mampu untuk berniaga kecil-kecilan menjual pakaian terpakai setiap Sabtu dan Ahad.
Untuk meneruskan kehidupan, dia menjual semua baju-baju, beg tangan, aksesori dan segalanya sejak sebulan yang lalu memandangkan dia sendiri sudah mengambil keputusan untuk berhijab awal tahun ini.
“Bila dalam keadaan begini, tawaran pun dan tak ada. Kali terakhir saya berlakon pun sebelum Hari Raya Haji tahun lalu. Selepas itu langsung tak ada. Bukan tak ada yang bagi tawaran tapi bila di saat-saat akhir pasti akan dibatalkan.
“Saya dah lali dengan keadaan ini. Memang kalau nak berlakon sahaja pasti ada halangan sejak dahulu termasuklah disihir dan sebagainya. Jadi sekarang saya perlu cari alternatif untuk terus mencari rezeki,” ceritanya.
Mengakui selesa untuk terus menjual barang-barang terpakai pusat beli-belah Tesco Rawang (Selangor), dia juga menyeru kepada rakan-rakan artis yang lain untuk bersama dengannya di sana.
“Saya boleh tolong jualkan barang mereka seandainya mereka malu untuk turun padang. Ini yang saya lakukan ketika ini bagi meneruskan kehidupan,” katanya.
Sumber: Utusan Online
Sumber “Disihir sudah, disantau pun sudah dan perut juga sudah pernah busung. Tak mengapa, sehingga hari ini saya masih lagi kuat” – Emma Akma
0 Response to "“Disihir sudah, disantau pun sudah dan perut juga sudah pernah busung. Tak mengapa, sehingga hari ini saya masih lagi kuat” – Emma Akma"
Post a Comment