Menjadi anak menteri memang beruntung tapi penyanyi Dafi Datuk Seri Ismail Sabri lebih senang berdikari tanpa mengharapkan bantuan bapanya.
Anak menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu bagaimanapun berkata beliau tidak perlu bimbang jika berdepan kesusahan kerana bapanya pasti membantu.
Nafi syarikat dibantu bapa, namun Dafi akui untung jadi anak menteri
“Kalau orang cakap begitu [guna wang bapa] saya akan cakap ‘tidak ada’, memang hakikat saya berusaha. Saya cari duit dalam 10 tahun saya menyanyi, adalah simpanan saya hendak buka perniagaan.
“Tapi kalau orang kata saya sangat bertuah jadi anak menteri sebab kalau terjadi apa-apa saya ada tempat untuk minta tolong, ya memang betul,” katanya, pengarah syarikat LOL Entertainment, kepada ProjekMMO baru-baru ini.
“Saya bersyukur, tidaklah saya hendak merungut, tapi tidaklah sampai saya ambil kesempatan tidak berusaha. Saya berusaha sendiri tapi saya bersyukur ada ayah yang boleh bergantung harap.”
Dafi — nama glamor Gadaffi, bekas peserta Akademi Fantasia (AF) — membuka perniagaan baru House of Paradox yang membiak dan menjual kucing di Petaling Jaya.
Dilancarkan seminggu lalu di majlis yang turut dihadiri bapa dan keluarganya, syarikat itu menawarkan perkhidmatan, antaranya, mendandan dan tempat tinggal sementara kucing.
Anak kedua Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada empat beradik, menegaskan perniagaan itu dibangunkan daripada hasil titik peluhnya.
“Tidak, saya gunakan duit simpanan saya sendiri, sebab kita ada tiga rakan perniagaan.
“Kalau hendak guna duit bapa, saya tidak perlu masuk realiti TV, main bayar sahaja tetapi saya tahu dia (ayah) akan ada untuk saya kalau apa jadi,” katanya.
Tambahnya, Ismail Sabri mengetahui perniagaannya itu dan memberikan sokongan penuh memandangkan seluruh ahli keluarganya peminat kucing.
“Dan beliau [Ismail Sabri] pun pencinta kucing, jadi beliau antara orang yang saya paksa akan beli kucing,” katanya, bergurau.
Dafi popular dengan lagu terbaru “Girl” yang kini mendapat lebih 170,000 tontonan di YouTube sejak dimuatkan 11 Januari lalu.
Beliau dijangka mengeluarkan album terbaru — hasil sentuhan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani — tahun ini sempena pembabitannya selama 10 tahun dalam seni.
“Lagu ‘Girl’ ini jadi runut bunyi drama ‘Sayang Papa Saya Tak’. Alhamdullilah, sudah lebih 100,000 tontonan di YouTube dalam tempoh dua minggu.
“Saya terkejut sebab sudah lama tidak keluar lagu hit, saya harap [lagu] ini dapat dijadikan peluang kedua dan selepas ini saya akan lebih banyak lagu hit,” katanya.
Sumber: Malay Mail
Sumber Nafi syarikat dibantu bapa, namun Dafi akui untung jadi anak menteri
0 Response to "Nafi syarikat dibantu bapa, namun Dafi akui untung jadi anak menteri"
Post a Comment