Tidak kira siapa, lebih 10 juta jadi mangsa ‘porno dendam’

Menyebarkan imej lucah tanpa izin seseorang menjadi masalah besar di Amerika Syarikat apabila lebih 10 juta menjadi mangsanya, menurut satu kajian.

Isu ini, digelar “pornografi dendam,” menarik perhatian ramai pada 2014 apabila beberapa selebriti, termasuk pelakon Jennifer Lawrence dan model Kate Upton, menjadi mangsa penggodam yang menyebarkan foto lucah mereka di internet.

Foto dan video lucah dua peratus warga negara itu diedarkan tanpa keizinan mereka dan ramai lagi diugut bakal mengalami nasib sama, kata ketua penyelidik Amanda Lenhart.

Jumlah semuanya, kira-kira empat peratus atau 10.4 juta orang menjadi mangsa penyebaran atau pernah diugut, katanya, yang bertugas di Institut Kajian Data dan Masyarakat.

Lenhart berkata bahan lucah yang dirakam atau diedar tanpa izin seseorang membawa dampak buruk dan berpanjangan pada mangsa, lapor AFP.

“Sekali pun imej itu tidak disebarkan kepada orang ramai, pelakunya boleh mengugut untuk menyebarkan imej sebagai alat mengawal atau mengacau mangsa,” katanya.

Laporan kajian itu, yang dianggap julung kali dijalankan, berdasarkan tinjauan terhadap 3,002 pengguna internet berusia 15 tahun dan ke atas antara 17 Mei hingga 31 Julai lalu.

Berikut beberapa fakta menarik “pornografi dendam” seperti dinyatakan dalam laporan itu:

― sebahagian imej itu dicuri daripada simpanan peribadi, termasuk akibat digodam, atau dikongsi oleh bekas kekasih, sementara yang lain dirakam secara sulit atau dipaksa.

― ramai anak muda, usia antara 25 hingga 29 tahun, mengadu diugut dengan taktik ini.

― wanita lebih ramai menjadi mangsa, kira-kira 10 peratus wanita bawah 30 tahun menyatakan pernah diugut.

― kira-kira 15 peratus pengguna internet yang berorientasikan lesbian, gay, biseksual dan mak nyah (LGBT) diugut.

― lelaki juga pernah mengalami ugutan “pornografi dendam.”

― tiada undang-undang persekutuan di Amerika Syarikat untuk menangani masalah ini walau 30 negeri sudah menggubal tindakan terhadapnya.

 

Sumber: Projek MMO



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

0 Response to "Tidak kira siapa, lebih 10 juta jadi mangsa ‘porno dendam’"

Post a Comment