Bekas ahli gusti profesional yang kini melakar kejayaan dalam arena lakonan, Dwayne Johnson atau The Rock, 44, diangkat sebagai Lelaki Paling Seksi 2016 oleh majalah People.
Penghargaan tahunan yang diberikan khusus buat selebriti Hollywood itu bukan hanya bersandarkan tubuh sasa semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kegemilangan kerjaya, sisi peribadi hingga keakraban dengan keluarga.
The Rock, Dwayne Johnson dinobat lelaki paling seksi 2016
Gelaran itu meletakkan The Rock berada dalam kelas tersendiri bersama penerima terdahulu seperti David Beckham, Johnny Depp, Brad Pitt, Pierce Brosnan, Hugh Jackman, Bradley Cooper, Adam Levine dan Richard Gere.
“Ia sungguh menakjubkan. Pada masa sama, saya teruja hingga terfikir sendiri, apa yang menarik pada diri saya untuk menerima gelaran Lelaki Paling Seksi,” kata pemilik nama sebenar Dwayne Douglas Johnson itu.
Beliau, yang memiliki ketinggian 6 kaki 5 inci, menerusi akaun Instagramnya turut berkongsi pandangan mengenai seksi yang dikatakan sebagai sesuatu imej semula jadi.
“Seksi bukan perkara yang perlu dibuat-buat. Ia terjadi secara alami, ketika anda selesa menjadi diri sendiri,” kongsinya dalam status yang meraih komen ramai peminat.
Terdahulu, bintang Fast & Furious 8 itu kini tidak menang tangan memenuhi pelbagai projek filem, termasuk pembikinan semula Jumanji, menjadi suara latar untuk karakter Maui dalam animasi Moana, serta Baywatch.
Tidak hairan, bapa kepada dua cahaya mata yang dilahirkan di Hawaii itu meraih kedudukan sebagai aktor dengan bayaran paling mahal tahun ini, iaitu sebanyak AS$64.5 juta atau RM280 juta.
Perubahan ketara dalam hidup juara WWE itu bermula sebaik saja beliau meneroka bidang lakonan menerusi filem Beyond The Mat pada 1999, namun tiga tahun selepas itu namanya semakin gah di Hollywood bersandarkan filem The Scorpion King.
Sumber : Bharian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "The Rock, Dwayne Johnson dinobat lelaki paling seksi 2016"
Post a Comment