Bukan satu kebiasaan masyarakat kita untuk menceritakan masalah seksual khususnya alat kelamin walaupun kepada teman rapat kerana ia dianggap perkara kurang elok yang tidak sepatutnya diketahui orang lain.
Ramai kurang arif mengenai fibroid rahim
Kisah datang haid biasanya hanya dikongsi antara anak perempuan dengan ibunya dan sebaik mungkin dirahsiakan daripada ahli keluarga lain terutama lelaki.
Kedatangan haid ialah proses fisiologi semula jadi wanita yang berada dalam lingkungan usia yang berupaya untuk hamil.
Namun kitaran haid ialah proses kompleks membabitkan pelbagai jenis hormon dalam badan wanita.
Masalah kedatangan haid sering berlaku disebabkan pelbagai unsur antaranya keturunan, kesan perubatan, ketidakseimbangan hormon dan juga masalah kesihatan seperti penyakit fibroid.
Kala berbicara mengenai fibroid, ramai wanita tahu, faham dan sedar mengenainya. Namun tidak ramai pula yang memberi perhatian khusus kepada masalah itu hingga ia menyukarkan diri melakukan aktiviti digemari – daripada menjengah pusat beli-belah sehinggalah kepada menonton televisyen bersama keluarga.
Dalam sesetengah kes, wanita yang mengalami fibroid rahim terpaksa terlantar di katil dan tidak mampu berjalan jauh meskipun dalam kawasan rumah.
Fibroid dalam rahim (juga dikenali leiomioma atau mioma) ialah sejenis tumor paling biasa dan tidak berbahaya yang terjadi di dalam otot rahim, namun boleh membawa kepada pelbagai simptom seperti pendarahan rahim tidak normal, anemia, rasa tekanan pada bahagian pelvis serta masalah lemah kawalan kencing atau penahanan kencing.
Fibroid dalam rahim juga dikaitkan dengan masalah reproduktif seperti ketidaksuburan dan keguguran.
Hampir separuh wanita berusia di 35 hingga 49 tahun mengalami fibroid rahim dengan 30 peratus daripada mereka menujukkan simptom yang boleh membawa impak lebih besar ke atas kualiti hidup mereka.
Sebuah kaji selidik yang dijalankan baru-baru ini membabitkan 21,000 wanita dari lapan negara menunjukkan fibroid rahim simptomatik menjadi punca kepada kesan yang negatif ke atas kehidupan seksual mereka iaitu 43 peratus sementara prestasi di tempat kerja dan hubungan keluarga mencatat 28 peratus.
Rawatan yang diketahui bagi fibroid rahim
Rawatan untuk fibroid rahim simptomatik lazimnya terhad apabila pesakit memilih untuk menjalani pembedahan bagi mengatasi masalah terbabit.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Fetal dan Ginekologi Malaysia Dr Raman Subramaniam berkata, pembedahan adalah pilihan utama dan paling biasa untuk merawatnya kerana ramai beranggapan ia penyelesaian terbaik.
“Namun seperti apa jua pembedahan lain, wujud risiko komplikasi dan masalah sampingan selepas itu. Disebabkan itulah prosedur seperti histerektomi sering dikaitkan dengan morbiditi, kematian dan beban ekonomi ke atas sistem penjagaan kesihatan.
“Untuk sesetengah wanita, mereka berasa terhalang daripada menjalankan prosedur ini kerana ini bermakna peluang mereka untuk mengandung sudah tiada.
“Bagi wanita yang mencari alternatif pula, miomektomi memberikan kelegaan sementara daripada fibroid rahim yang dihidapi. Bagaimanapun, terdapat risiko fibroid ini akan berulang pada masa hadapan,” katanya.
Terapi farmakologi antara langkah alternatif juga boleh diguna pakai untuk merawat fibroid rahim, tetapi kaedah ini mempunyai beberapa risiko jangka panjang.
Kini hadir terapi oral yang seumpamanya di Malaysia diperkenalkan, Ulipristal acetate 5mg (UPA 5mg), untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pesakit.
Sumber: Harian Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "Wanita wajib tahu apa itu fibroid rahim dan rawatannya"
Post a Comment