Seorang pembantu tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menangis teresak- resak di kandang pesalah selepas membuat pengakuan bersalah terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan RM13,100 wang bantuan, dua tahun lalu.
Kerani JKM dipenjara, pecah amanah wang kebajikan
Salwana Mokhtar, 34, kelihatan beberapa kali menyapu air matanya ketika prosiding berjalan di hadapan Hakim Makamah Sesyen Shah Alam, Asmadi Hussin hari ini.
Dia yang berkhidmat selama 11 tahun dalam perkhidmatan awam mengaku sebagai orang yang telah diamanahkan wang bantuan kebajikan kepada orang tua, pesakit kronik terlantar, orang kurang upaya (OKU) tidak bekerja, kanak- kanak dan elaun pekerja cacat dengan curangnya menyebabkan RM13,100 dimasukkan ke dalam akaun bank suaminya, Mohd Hafiz Yatimi.
Kesalahan itu dilakukan antara 31 Disember 2014 dan 31 Mac lalu di JKM Sabak Bernam, Lot 16,17&18, Taman Gemilang, Sungai Besar dekat sini.
Asmadi kemudiannya memerintahkan Salwana menjalani hukuman penjara setahun dan denda RM9,000 dan tambahan penjara enam minggu sekiranya gagal membayar denda itu.
“Hukuman itu bermula dari hari ini,” katanya.
Terdahulu, dalam mitigasi, Salwana yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan menyesali perbuatannya.
“Saya mempunyai tiga anak dan yang paling kecil berumur 2 tahun setengah selain sedang menghadapi masalah rumah tangga dengan suami.
“Saya tidak mempunyai ibu bapa yang boleh membantu menjaga anak- anak. Sekiranya mahkamah membenarkan saya mohon hukuman denda diberikan,” katanya sambil menangis.
Asmadi kemudiannya berkata, kesalahan yang dilakukan Salwana itu tertakluk di bawah Sesyen 408 Kanun Keseksaan.
“Hukuman yang diperuntukkan di bawah seksyen ini paling minima setahun dan ianya mandatori.
“Awak bernasib baik terselamat daripada disebat kerana awak seorang wanita,” katanya.
Pada prosiding itu juga, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Syakimah Ibrahim dan Mahamad Sukri Seman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Sumber: Sinar Harian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "Wanita songlap duit Jabatan kebajikan dihukum penjara"
Post a Comment