Walau berkeras untuk kembali ke dunia mak nyah selepas membuang implan payudara, Safiey Ilias masih mengharapkan hidayah Allah.
Ahli perniagaan itu, popular dengan produk Perlaking, berkata kritikan orang ramai terhadap perubahannya sebagai lelaki beberapa bulan lepas menjadikannya tertekan.
Safiey Ilias kembali jadi maknyah, ‘lapar hidayah’ tapi ‘takut jadi baik’
Mengumumkan tidak berjaya kekal dengan identiti itu malam tadi, Safiey menukar foto profil di Facebook dengan imej bertudung. Beliau juga menggunakan nama Sofea Ilias.
“Saya takut hendak jadi baik. Saya takut orang fikir saya baik. Saya takut dedah hal-hal dakwah apatah ibadah. Saya takut jika anda terlalu berharap daripada saya,” katanya di media sosial itu, petang tadi.
Luahan terbaru itu susulan coretan awalnya malam tadi, yang melontar keluhan betapa sukarnya seseorang transgender terpaksa menempuh pelbagai kerenah orang ramai.
“Saya jadi pondan orang hina, saya jadi lelaki pun orang hina. Ada yang kata saya tunggang agama, ada yang kata saya gunakan agama untuk berniaga,” kata Sofea di Facebook.
“Saya sudah jadi lelaki pun orang tanya, di mana misai dan janggut saya? Entahlah. Saya muak.”
Kerana terlalu ingin kembali sebagai “lelaki normal”, Sofea atau nama asalnya Safiuddin Ilias, 22, membuang payudara palsu pada April lalu selepas menggunakannya sejak 19 tahun.
“Saya bersyukur kerana berjaya menjalani pembedahan itu dan kembali menjadi lelaki normal,” katanya seperti dilaporkan waktu itu.
Namun pemilik syarikat DSI Empire masih berharap berada di atas landasan agama dan ingin menjaga dirinya sebagai seorang Islam.
“Saya sentiasa lapar akan hidayah Allah dan Allah berkali-kali hancurkan hati saya sampai saya menangis teresak-esak,” katanya.
Tambahnya, pendirian beliau tidak tetap mungkin disebabkan sudah terlalu yakin boleh berdiri teguh sebagai lelaki ― setelah menyertai kumpulan dakwah Tabligh, hujung tahun lalu.
“Saya yakin kenapa Allah membolak-balikkan hati saya. Sebab sebelum ini saya yakin saya tidak akan menjadi yang lama [transgender].
“Saya mungkin sudah berasa sombong akan iman diri. Namun, Allah bijak dengan memberi ujian sehingga hati saya dibolakkan.
“Sekarang saya faham betapa saya lemah dan perlukan Allah sentiasa,” katanya.
Sofea mengusahakan produk-produk kecantikan kulit Aurora, WisPutih dan Perlaking. Produknya laris sehingga mampu bergelar jutawan dan memiliki beberapa kereta mewah.
April lalu, beliau juga dilaporkan ingin menubuhkan rumah kebajikan khas buat golongan mak nyah sebagai pusat perlindungan kepada mereka yang disisihkan masyarakat.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "Safiey Ilias kembali jadi maknyah, ‘lapar hidayah’ tapi ‘takut jadi baik’"
Post a Comment