Setelah ramai tampil mempertahankan Datuk Kazim Elias, selebriti popular Wardina Safiyyah menegaskan bahawa fokus terhadap kes pencabulan seksual di sebuah sekolah tahfiz bukan sepatutnya menjurus kepada penceramah itu.
Menurut bekas pelakon itu, perhatian orang ramai sepatutnya tertumpu kepada aduan berat itu, dan bukanlah cuba untuk menyusahkan dan menakut-nakutkan mereka yang mahu membuat aduan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kanak-kanak.
“Orang ramai perlu fokus kepada isu pencabulan di Maahad Tahfiz, bukan fokus Ustaz Kazim atau saya” – Wardina Safiyyah
“Ini bukan mengenai saya atau kamu, ini mengenai dakwaan yang dibuat. Kita hanya perlu ambil perhatian,” kata Wardina dalam satu coretan awam di laman Facebooknya, merujuk kepada Kazim.
“Maaf segala salah silap. Kita ini niat hendak tolong orang sahaja. Saya juga seperti semua mahu kebenaran terungkai. Siapa yang menipu siapa yang tidak,” tambahnya.
Pendakwah terkenal itu sebelum ini dilaporkan membuat aduan polis terhadap seorang aktivis dan Wardina berhubung dakwaan salah laku seks di Darul Barakah, sebuah sekolah tahfiz di Ipoh miliknya.
Kazim mendakwa kenyataan Syed Azmi Alhabshi dan Wardina di media sosial “berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang penceramah agama”.
Menurutnya, laporan polis itu dibuat kerana komen-komen di Facebook mereka “sangat memalukannya” dan ingin membersihkan namanya dan nama sekolahnya, walaupun Syed Azmi dan Wardina mengakui tidak pernah menamakan kedua-duanya.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid juga telah tampil meminta orang ramai supaya tidak menghukum sekolah yang dimilik Kazim, kerana dakwanya “tidak adil” kepada pendakwah itu.
Dalam respons beliau, Wardina menjelaskan bahawa isu utama yang berbangkit yang perlu difokuskan adalah adakah benar kes pencabulan tersebut berlaku.
“Sekiranya ada aduan serius seperti ini (lebih-lebih lagi melibatkan kanak-kanak) kita sepatutnya fokus ke atas aduan tersebut.
“Kita perlu memudahkan mereka yang ingin membuat aduan pencabulan bukan menghalang mereka dan menyerahkan kepada pihak polis menyiasat kredibiliti aduan mereka.
“Amat menyedihkan kita mempunyai mentaliti menyusahkan dan menakutkan mereka yang mahu tampil membuat aduan,” kata Wardina lagi.
Polis sebelum ini mengesahkan menerima laporan mengenai dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka.
Pihak polis juga mendedahkan pada hari Sabtu lepas bahawa siasatan mereka sudah selesai, dan kertas siasatan telah diserahkan pada pihak berkuasa semalam.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "“Orang ramai perlu fokus kepada isu pencabulan di Maahad Tahfiz, bukan fokus Ustaz Kazim atau saya” – Wardina Safiyyah"
Post a Comment