Seorang lelaki yang taksub mempercayai dirinya waris ketujuh sultan Melaka sanggup membayar RM100,000 kepada seorang ustaz bagi mendapatkan peralatan kebesaran kononnya dari alam ghaib.
Ketua polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki itu yang merupakan ahli perniagaan logistik berusia 48 tahun, percaya dirinya mempunyai salasilah sultan Melaka dan berikutan itu, dia mendapatkan khidmat ustaz yang dikenalinya daripada rakan.
Lelaki percaya dirinya waris ke-7 ‘Sultan Melaka’ bayar RM100,000 dapatkan alat kebesaran dari alam ghaib dari seorang ustaz
Setelah melakukan bayaran, ahli perniagaan itu kemudian diserahkan dengan sejumlah barangan antaranya keris dan tombak yang kononnya diperoleh dari alam ghaib dan boleh mengesahkan dirinya sebagai waris sultan Melaka.
Berbekalkan barangan tersebut, dia merancang untuk mengadakan majlis keraian di sini dalam tempoh terdekat sempena memperingati kemangkatan Kesultanan Melaka, kata Wan Ahmad Najmuddin ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun, niat ahli perniagaan itu tidak disokong saudaranya yang kemudian membuat laporan polis di sebuah balai polis di sini pada Rabu lepas.
Wan Ahmad Najmuddin berkata susulan laporan itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Pelangi Indah di sini antara 4.45 hingga 5 petang semalam dan menahan kedua-dua suspek iaitu ustaz dan ahli perniagaan berkenaan.
Turut dirampas 30 bilah keris, 16 helai kelengkapan persalinan, 12 bilah tombak, pedang dan parang serta empat peralatan lain yang kononnya mempunyai kaitan dengan peralatan kebesaran Kesultanan Melaka.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan denda,” katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman dan polis menggesa orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan menggunakan nama institusi raja berperlembagaan di Malaysia. — Bernama
Sumber : Malay Mail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Response to "Lelaki percaya dirinya waris ke-7 ‘Sultan Melaka’ bayar RM100,000 dapatkan alat kebesaran dari alam ghaib dari seorang ustaz"
Post a Comment